Berita Hari Ini

Cari pendekatan baharu tangani jenayah rentas sempadan di Sabah

KINABATANGAN: Pasukan keselamatan diminta mencari pendekatan baharu bagi meningkatkan aspek keselamatan di pantai timur Sabah, khususnya bagi menangani jenayah rentas sempadan seperti penculikan semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, berkata kawasan perairan pantai timur Sabah yang panjang dan luas dari Tawau ke Kudat bukan alasan masih berlakunya jenayah rentas sempadan di negeri ini.

“Rakyat Sabah tidak senang hati mengenai tahap keselamatan (di perairan pantai timur Sabah), kawalan keselamatan yang dibuat dari Tawau sampai ke Kudat memang sukar tetapi bagi saya itu bukan alasan yang baik.

“Sebagai negara berdaulat, kerajaan perlu bertanggungjawab memastikan aspek keselamatan rakyat sentiasa terjamin. “Kita mahu rakyat selamat, tidak berlaku penculikan dan sebab itu kawalan keselamatan perlu dipertingkatkan,” katanya kepada media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Bahagian Kuamut, dekat sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Naib Presiden PBRS, Richard Kastum dan pemimpin setempat daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) Kinabatangan.

Pada majlis itu, kurup menerima 300 borang kemasukan ahli baharu ke dalam PBRS, masing-masing 100 orang daripada cawangan Pekan Kinabatangan, cawangan Seri Menunggal dan cawangan Imbak.

Dalam insiden penculikan terbaharu pada 18 Julai lalu, lima warga Malaysia yang juga kru kapal tunda Serudung 3 diculik di perairan Dent Heaven di Lahad Datu, ketika dalam perjalanan ke Semporna selepas menghantar pasir di Sandakan.

Kapal tunda itu ditemui terkandas di kawasan beting pasir jam 2 petang dalam keadaan enjin hidup tanpa operator, manakala barangan di dalamnya berselerak sebelum semua kru terbabit disahkan diculik dan dibawa ke selatan Filipina.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");