Berita Hari Ini

Dapatkan semula suntikan jika terlepas imunisasi

PUTRAJAYA: Ibu bapa yang mendapati anak mereka sudah terlepas suntikan imunisasi dan vaksin mengikut jadual ditetapkan Kementerian Kesihatan diminta pergi ke klinik bagi mendapatkan semula suntikan berkenaan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan kini memberikan tumpuan untuk mengesan mereka yang tercicir mendapatkan imunisasi.

“Selain kesedaran ibu bapa, saringan imunisasi di peringkat sekolah yang akan bermula bulan depan akan mengesan mereka yang terlepas mendapatkan vaksin mengikut jadual kebangsaan.

“Ibu bapa kanak-kanak yang terlepas imunisasi akan dinasihatkan mendapatkan semula suntikan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis khas bersama warga dan pesara ibu pejabat Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata, Kementerian Kesihatan menggunakan pendekatan ‘persuasive’, nasihat dan penjelasan kepada ibu bapa mengenai kepentingan imunisasi serta menyerahkannya kepada ibu bapa untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diberikan.

Mengenai difteria, Dr Subramaniam berkata kematian adik kepada seorang mangsa difteria semalam, Muhammad Rusydi Rizky Amdin, 11 bulan, belum disahkan akibat difteria.

Pada 21 Jun, abang kepada Muhammad Rusydi Rizky iaitu Muhammad Haris Haikal, dua tahun, dilaporkan meninggal dunia akibat difteria. Kes difteria di seluruh negara mencatatkan lima kematian setakat ini, katanya.

Mengulas dakwaan filem ‘Kabali’ yang dibintangi pelakon handalan filem Tamil, Rajinikanth, memperlekeh kedudukan bangsa India di negara ini, Dr Subramaniam yang juga Presiden MIC meminta semua pihak menerima filem berkenaan sekadar hiburan.

Beliau yang percaya masyarakat Malaysia cukup matang untuk menilai filem tersebut berkata MIC tidak bercadang untuk menghantar sebarang bantahan ekoran dakwaan itu.

Filem Kabali yang menjalani penggambaran di beberapa lokasi di Malaysia memulakan tayangan perdananya Khamis lalu.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");