Jenayah

Dua suspek kes ragut dicekup

SABAK BERNAM: Polis berjaya menyelesaikan 24 kes ragut selepas memberkas dua suspek yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu di sekitar Sungai Besar dan Sekinchan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, dua lelaki yang juga penagih dadah itu ditahan berasingan apabila suspek pertama berusia 32 tahun dicekup polis pada 23 Jun lalu.

“Pasukan Tugasan Khas Ragut Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, diketuai Inspektor Norizan Ramli, menahan suspek pada jam 5.45 petang yang sedang menunggang motosikal Honda Wave di Lorong 6 Bagan Sungai Besar.

“Penahanan suspek pertama yang beralamat di Parit 3 Ban 2 Sekinchan itu, sekali gus membongkar kegiatan sama yang dilakukan seorang lagi kenalannya berusia 27 tahun yang menetap di Parit 1, Sungai Sireh, Tanjong Karang,” katanya.

Nor Azmi memberitahu, suspek kedua yang menunggang motosikal jenis Honda EX5, ditahan pada jam 10.30 malam di hadapan sebuah stesen minyak di Sungai Besar.

Jelasnya, hasil soal siasat polis mendapati mangsa mengaku melakukan kesalahan ragut pada 28 April lalu kira-kira jam 4 petang di hadapan sebuah klinik di Sungai Besar hingga mengakibatkan kecederaan kepada mangsa.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya selepas suspek menarik beg yang disangkut pada cermin sisi sebelah kanan kenderaan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, polis tidak menemui barang kes kerana suspek telah melupuskannya dan mengaku melakukan sebanyak 18 kes ragut di kawasan terbabit.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 5 Julai ini dan polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek pertama yang turut mengaku terlibat dalam enam kes ragut di sekitar kawasan ini,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");