Membawang Hari Ini

Fasa ketiga UMMI

Barangkali tidak banyak publisiti membabitkan penyanyi yang popular dengan lagu di Persimpangan Dilema, Nora Ariffin di persada hiburan tanah air ketika ini.

Hakikatnya, Nora sibuk dengan fasa terbaru projek siri animasi UMMI….Ceritalah pada kami terbitan produksinya iaitu Hud Hud Media dan Johan Nawawi Sdn Bhd.

Bermula dengan siri animasi kanak-kanak UMMI….Ceritalah pada kami (UMMI) yang ditayangkan di negara ini pada 2014, kini sudah merantau ke seluruh pelosok Nusantara, negara Arab dan seterusnya ke Turki, Eropah, Pakistan, China dan Kanada.

Bagi pemilik nama sebenar, Wan Norafizah Ariffin, 43, berkonsepkan nilai murni dan pembentukan karakter, objektif siri animasi UMMI adalah untuk mendidik kanak kanak secara santai melalui animasi dan muzik.

“Cerita dan konsep siri animasi UMMI adalah idea saya sendiri kerana dunia kini memerlukan lebih ramai ikon yang memperjuangkan kebaikan dan nilai murni. Itulah matlamat produksi kami untuk menerbitkan rancangan hiburan yang memberi manfaat dan bukan sekadar hiburan semata-mata,” katanya.

Nora berkata, projek UMMI kini dalam fasa ketiga selepas enam tahun dalam industri animasi dan hiburan.

“Fasa pertama kami adalah menerbitkan dan memasarkan siri animasi UUMI…ceritalah pada kami, fasa kedua pula mempromosi jenama UMMI melalui produk dan perkhidmatan yang sesuai seperti kolaborasi dengan syarikat tempatan.

“Fasa ketiga ialah ‘UMMI intractive programs’ melalui teknologi aplikasi smart mobile, kombinasi ‘games dan edutainment’ melalui Mobile Application UMMI atau ‘UMMI Apps’,” katanya.

Nora ditemui pada majlis pelancaran UMMI Apps yang disempurnakan Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari di Auditorium Pitching Centre, Platinum Sentral, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, suaminya yang juga Pengarah Hud Hud Media Sdn Bhd Johan Nawawi.

Mengulas lanjut mengenai UMMI Apps, Nora berkata, pihaknya menawarkan 11 jenis aplikasi dalam format Android di Google Play Store.

“Ia membabitkan Techno Gadget World, Re-Cycle, Doa & Prayers, Quizzes & Puzzles, Chosen Kalimahs, Songs of Ummi, Islamic History, Ummi E-Books, Busana Muslim, Short Surahs dan Parenting With Ummi,” katanya.

Berminat sertai Gegar Vaganza

Walaupun sibuk dengan bisnes dan kerja belakang tabir produksi, cinta Nora tidak pernah luntur dalam bidang nyanyian yang sudah sebati dengan dirinya sejak dulu.

Malah, Nora juga masih memenuhi undangan persembahan untuk majlis korporat dan persendirian sampai sekarang.

“Saya akui persembahan untuk majlis korporat tidak ada publisiti. Sebab itu ada pihak yang mendakwa saya sudah tidak aktif dalam bidang hiburan ketika ini. Sedangkan jiwa saya tetap pada bidang nyanyian tetapi lebih kepada mesej keagamaan dan kemanusiaan,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan bakal menyertai musim terbaru program Gegar Vaganza, Nora mengakui dia memang ada menerima tawaran daripada Astro.

“Terus terang, saya memang berminat untuk menyertai program Gegar Vaganza kerana ingin menjadikannya platform untuk buat ‘comeback’ dalam bidang hiburan. Saya juga difahamkan beberapa artis yang disenaraikan dalam musim terbaru juga tidak kurang hebatnya.

“Namun, buat masa ini, saya belum beri kata putus dan masih dalam perbincangan,” katanya.

Di samping projek animasi UMMI, Nora berkata, dia juga akan melancarkan album Voices Of Ummi Volume 2 terbitan Inteam dalam tempoh terdekat ini. Selain Nora, anggota kumpulan Voices of Ummi termasuk dua anaknya iaitu Alif Johan dan Putri Dahlia.

Sebelum ini, Nora muncul dengan single berjudul Anugerah ciptaan komposer terkenal Omar K, Audi Mok serta Ezra K untuk mengubat kerinduan peminat. Kali terakhir, Nora beraksi ialah menerusi showcase Nora Anugerah yang berlangsung di Theather Lounge Cafe, Plaza Damas, Sri Hartamas 3 pada 15, 16 dan 17 Januari lalu.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");