Berita Hari Ini

Gaji baru

Kota Bharu: Kementerian Pendidikan sedang mengkaji dan menyemak semula tangga gaji lebih 438,000 guru di negara ini yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan lagi.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata, beliau diberi tanggungjawab mempengerusikan Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi melihat aspek dan kaedah diperlukan sebelum dibentangkan.

Katanya, selepas diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (16 Mei lalu) yang dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahadzir Khalid, beliau diberi amanah untuk menyelesaikan perkara itu.

“Kita kini dalam proses menyemak semula tangga gaji guru seiring dengan tugas dan tanggungjawab dipikul mereka.

“Perkara ini dijangka diselesaikan dalam tempoh terdekat atau sebulan lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Kepada Pengetua dan Guru Besar sekolah negeri Kelantan, di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Timbalan Perdana Menteri mencadangkan skim gaji guru perlu diletakkan lebih tinggi berbanding penjawat awam yang lain.

Beliau berkata, meskipun status sosial dimainkan golongan itu semakin berubah mengikut persepsi, namun peranan mereka mendidik generasi pewaris masih utuh sehingga kini.

Ahmad Zahid berkata, beliau amat berbangga jika ada usaha untuk menjadikan skim gaji golongan pendidik ditingkatkan pada tahap tertinggi dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan sosial mereka.

Kamalanathan berkata, perkara itu menunjukkan tanda keprihatinan kerajaan kepada golongan guru yang mendidik anak bangsa.

Ketika diminta mengulas beberapa insiden di sekolah hingga membabitkan kematian termasuk seorang pelajar lelaki tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 2 (SMKTIP2) yang ditimpa tiang gol berkata, kementerian sudah menyediakan pekeliling yang disalurkan kepada Jabatan Pendidikan.

“Sekolah perlu menyemak kemudahan dan keperluan sama ada dalam keadaan baik atau sebaliknya serta memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Jika ada keperluan, kita akan memberi perhatian dan mengambil tindakan serta-merta,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");