Sukan Hari Ini

Higuain RM402 juta

Milan: Gonzalo Higuain (gambar) melengkapkan perpindahan sensasi ke Juventus selepas juara Itali itu bersetuju membayar 90 juta euro (RM402 juta), bayaran ketiga termahal dalam sejarah untuk mendapatkan khidmat penyerang Argentina itu dari Napoli, awal pagi semalam.

Dalam perpindahan terbesar pernah dilakukan antara dua kelab Serie A, perpindahan Higuain ke Turin dengan kontrak lima tahun disahkan Juventus dua jam selepas disiarkan bos liga Serie A dalam laman web mereka.

Dalam satu kenyataan kelab gergasi Turin itu menyatakan: “Juventus mengumumkan pembelian muktamad Gonzalo Gerardo Higuain dengan bayaran 90 juta euro, dibayar secara ansuran sama rata dua kali pada 2016-17 dan 2017-18.

“Higuain akan menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab ini.”

Napoli menyelitkan klausa tebus kontrak 94.7 juta euro (RM425 juta) dalam kontrak Higuain selepas dia mencatat rekod 36 gol dalam liga musim lalu apabila dia memecahkan rekod 66 tahun milik Gunnar Nordahl dengan 35 gol dalam semusim buat AC Milan pada 1950.

Selepas rundingan berminggu-minggu, Juventus berjaya mengurangkan hampir 5 juta euro (RM22 juta) daripada harga diminta Napoli untuk mendapatkan khidmat penyerang berusia 28 tahun itu yang dipercayai boleh menjadi penentu antara kejayaan dan kegagalan dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Selepas meninggalkan pejabat Serie A, ketua pegawai eksekutif Juventus Beppe Marotta tidak memberikan butiran apabila ditanya, namun mengesahkan perpindahan itu apabila berkata: “Kami sudah mendeposit kontrak Higuain (dengan pegawai liga). Kami sudah memuktamadkan segala-galanya.”

Ia perpindahan ketiga termahal dalam sejarah selepas Gareth Bale berpindah dari Tottenham ke Real Madrid dengan harga 100.8 juta euro (RM452 juta) pada 2013 dan Cristiano Ronaldo dari Manchester United ke kelab gergasi Sepanyol itu sebanyak 94 juta euro (RM421 juta) pada 2009.

Higuain turut muncul pemain paling mahal Amerika Selatan dalam sejarah selepas perpindahannya mengatasi 86.2 juta euro (RM386 juta) dibayar Barcelona kepada Santos bagi mengikat bintang Brazil Neymar pada 2013.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");