Perak Hari Ini

Isu Pencerobohan : Tindakan Segera Akan Diambil – Zambry

IPOH : Jabatan Perhutanan diminta untuk menyediakan laporan bagi memastikan isu pencerobohan yang dilaporkan di sebuah akhbar tempatan adalah benar, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, ia bagi memastikan bagi membolehkan tindakan segera diambil disamping memastikan kawasan-kawasan di negeri ini tidak dicerobohi oleh mana-mana pihak.

“Perkara yang berkaitan dengan pencerobohan seringkali dibangkitkan. Saya juga telah menekankan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri agar kita dapat perketatkan laluan masuk ke kawasan kita.

“Laporan berkaitan kes pencerobohan masuk ke kawasan kita bukan hanya melibatkan kes curi gaharu dan sebagainya, tetapi ianya juga boleh menjejaskan keselamatan kita,” katanya ketika ditemui di Majlis ‘Riuh Raya’ Perbadanan Pembangunan Pertanian (SADC) Negeri Perak, hari ini.

PERAKTODAY1 (11)

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan warga asing khususnya dari Thailand, Vietnam, Kemboja dan Pakistan dikesan menceroboh Hutan Simpan Amanjaya (HAS) untuk mencuri kayu gaharu yang bernilai tinggi.

HAS yang diwartakan pada Mei 2014 dan berkeluasan 18,866 hektar itu mudah dicerobohi kerana berada di kiri dan kanan Jalan Raya Timur Barat antara Gerik di Perak dan Jeli, Kelantan sejauh hampir 100 kilometer.

Pencerobohan itu mula dikesan apabila kamera yang dipasang oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) untuk merekod hidupan liar di hutan simpan tersebut turut merakamkan gambar beberapa lelaki dipercayai warga asing yang mencuri kayu gaharu.

Tegas Zambry lagi, anggota polis dan tentera sememangnya membuat pemantauan di kawasan tersebut bagi memastikan masalah pencerobohan seperti itu tidak berlaku.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah membuat beberapa tindakan perlu bagi memastikan kawasan berkenaan benar-benar dijaga dengan sebaiknya dan tidak berlaku masalah pencerobohan,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");