Berita Hari Ini

Jangan ‘Double Standard’ – Nufam

SUBANG JAYA: Pihak berkuasa diminta untuk tidak mengamalkan sikap ‘double standard’ berhubung isu tunggakan gaji syarikat penerbangan Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd (Eaglexpress).

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam), Ismail Nasaruddin berkata, berikutan itu, pihak berkuasa seperti Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) perlu segera menyiasat Eaglexpress bagi menjamin nasib kira-kira 300 pekerja syarikat penerbangan carter itu.

Katanya, siasatan perlu membabitkan isu tunggakan gaji dan elaun, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta insurans pekerja syarikat itu.

“Syarikat penerbangan seperti Eaglexpress perlu mempunyai kewangan yang kukuh untuk beroperasi. Nampak kes ini sama seperti Rayani Air.

“Saya mohon kepada pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan terhadap Eaglexpress secepat mungkin,” katanya pada sidang media di pejabat kesatuan itu di sini, Rabu.

Ismail berkata, Nufam akan mengadakan mesyuarat dengan Mavcom dan berharap badan itu dapat memberi penjelasan mengenai Eaglexpress secepat mungkin.

“Ia kerana pekerja menunggu apakah hasil siasatan. Kalau dah siasat dan majikan kata tak ada duit, jadi apa tindakan pihak berkuasa.

“Adakah pihak berkuasa akan tunggu dahulu? Macam Rayani Air, lesen dah kena tarik. Sekarang Eaglexpress dah menyalahi undang-undang,” katanya yang merujuk kepada antara peruntukan undang-undang membabitkan Akta Kerja 1955.

Bagaimanapun Ismail menegaskan bahawa desakan tersebut bukan bertujuan untuk melihat Eaglexpress ditutup tetapi mahu memperjuangkan hak pekerja dari segi kebajikan dan keselamatan.

Ini kerana katanya, jika tiada siasatan atau tindakan daripada pihak berkuasa, ia hanya akan menimbulkan persoalan bagaimana syarikat penerbangan itu mendapat lesen untuk beroperasi.

“Itu pihak berkuasa kena jalankan siasatan secepat mungkin dan mengeluarkan kenyataan umum mengenai apakah tindakan mereka, berbanding hanya berdiam diri,” kata Ismail.

Pada masa sama, Nufam turut menggesa pengurusan Eaglexpress supaya bertanggungjawab dan tampil memberi penjelasan kepada semua kakitangannya mengenai masalah yang dihadapi termasuk jalan penyelesaian.

Mengenai Rayani Air, setakat ini syarikat berkenaan belum melunaskan tunggakan gaji kira-kira 400 kakitangannya, selain berdepan masalah operasi.

Pada 13 Jun lalu, syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu dibatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) oleh Mavcom, susulan penggantungan sementara operasinya selama tiga bulan yang dibuat DCA pada 11 April.

Pada Rabu, pertemuan antara Jabatan Tenaga Kerja (JTK), wakil majikan Eaglexpress dan wakil pekerja telah diadakan.

Bercakap kepada mStar Online, Pengarah JTK Selangor, Mohd Asri Abd Wahab berkata, tiada ketetapan dibuat mengenai tarikh untuk melunaskan gaji dan elaun pekerja yang tertunggak.

Katanya, majikan masih dengan pendirian sama iaitu membayar tunggakan baki separuh gaji Mei kepada sebahagian pekerja dan sebulan gaji Jun untuk semua pekerja.

Tambah Mohd Asri, JTK meminta majikan membuat pembayaran semua yang tertunggak kerana mengikut Akta Kerja 1955, gaji pekerja perlu dibayar dalam tempoh tujuh hari dari tarikh gaji.

“Kita juga minta pekerja Eaglexpress untuk memfailkan kes kepada JTK bagi membuat tuntutan terhadap majikan,” katanya sambil menambah ia bergantung kepada pekerja sama ada mahu membuat tuntutan atau berkompromi dengan majikan mengenai isu tunggakan.

Isu tunggakan gaji dan elaun Eaglexpress termasuk kegagalannya untuk mencarum KWSP dan Perkeso didedahkan mStar Online pada 20 Jun lalu selepas syarikat penerbangan itu mengalami masalah kewangan sejak Februari tahun ini.

Masalah itu disebabkan ketiadaan sijil Audit Keselamatan Operasi IATA (IOSA), yang tidak membenarkan Eaglexpress beroperasi berikutan perniagaan utamanya terikat dengan Arab Saudi Airlines (Saudia) bagi membawa jemaah umrah dan haji. Bagaimanapun, Eaglesxpress berjaya memperoleh IOSA baru-baru ini dan syarikat penerbangan itu kembali beroperasi.

Eaglexpress merupakan syarikat penerbangan carter yang berpangkalan di Kuala Lumpur bagi perkhidmatan jemaah umrah dan haji sejak 2012 termasuk penerbangan ke Arab Saudi dari Malaysia, Indonesia, Afrika Utara dan Timur Tengah.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");