Membawang Hari Ini

‘Jangan main lepas cakap’

Kata-kata penerbit filem David Teo yang menghina Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee membangkitkan kemarahan banyak pihak.

Isu yang disentuh David membabitkan kehidupan P Ramlee dianggap biadab dan kurang ajar apabila mengatakan P Ramlee hidup merempat dan miskin sehingga di penghujung usianya.

Bukan sahaja keluarga bahkan penggiat seni, seniman dan seniwati veteran negara serta seluruh rakyat Malaysia mengutuk ‘keceluparan’ David.

Ikuti luahan isi hati dramatis Dian P Ramlee yang juga anak angkat kepada arwah berhubung perkara itu.

HM: Apa komen anda tehadap isu ini?

Saya tak tahu apakah motif sebenar dia berkata sedemikian. Bagi saya, kaya macam mana pun atau nak majukan orang lain sekali pun, tidak perlu petik nama individu lain sebagai perbandingan. Apatah lagi jika orang itu sudah meninggal dunia. Bagi saya, kenapa dia tidak menyebut nama pesaing sedia ada? Dia sebagai penerbit patut tahu perkara ini. Seperkara lagi, sebagai penerbit mampukah dia memberi kekayaan kepada pelakonnya?

HM: Apabila kenyataan David yang mahu menjadikan artis naungannya berdisiplin, adakah adil dengan membuat perbandingan dengan P Ramlee?

Dalam pada sebilangan besar penduduk Malaysia memuji daddy (P Ramlee), kenapa dia perlu bersikap sebaliknya? Apa kaitan disiplin artis naungannya de­ngan daddy? Perbandingan yang dibuat salah kerana mereka tidak setaraf daddy. Pada zaman daddy, dia banyak melahirkan bakat baru yang disegani sehingga sekarang. Artis dulu, duit jatuh nombor dua kerana yang diutamakan adalah minat. Sekarang pula, duit mengatasi bakat.

HM: Sejauh mana kebenaran dakwaan David itu?

Macam saya katakan tadi, apa tujuan dan niat dia berkata sedemikian? Arwah daddy tak pernah tinggal di lokasi yang dimaksudkan (Bukit Bintang). Pada masa sama, kenapa dia perlu membabitkan nama anak daddy, Sazali? Sebagai manusia perlu ada hati perut kalau nak bercakap. Bukannya main lepas cakap saja. Jangan sampai hilang pertimbangan sehingga menyentuh sensitiviti pihak lain.

HM: Boleh anda kongsikan bagaimana kehidupan Allahyarham ketika itu?

Ketika arwah daddy di sini, saya melanjutkan pelajaran di Singapura. Jadi tidak banyak perkara yang saya tahu. Cuma apa saya boleh katakan, arwah tidak pernah menunjukkan kesusahan yang dilalui. Kalau pun hidupnya miskin, dia tak pernah menyusahkan orang lain atau meminta sedekah. Malah arwah masih boleh membantu rakan lain. Dia tidak sampai hati menolak permintaan orang lain.

HM: Apa reaksi anda tatkala membaca laporan berita itu?

Pada mulanya saya terlihat status Melissa Saila di laman Facebook. Apabila membuka laporan berita itu, saya terkejut kerana dia memetik nama arwah daddy. Selepas itu semakin banyak status daripada rakan artis dan orang ramai yang mengutuk tindakan David. Saya tidak pasti sama ada anak dan waris arwah yang lain ada membacanya atau tidak. Sebabnya perkara ini saya hanya bercerita dengan Mellisa saja. Bagaimanapun, ia satu tindakan bodoh. Jika mahu bercakap dan memuji diri sendiri, jangan sehingga mengaibkan pihak lain.

HM: Bagaimanapun David sudah tampil dengan kenyataan permohonan maaf?

Apabila dia mengguris hati orang lain, ingat mudah orang nak menerimanya? Namun apabila orang meminta maaf, sebagai umat Islam kita wajib memaafkannya. Cuma sakit itu tetap ada. Dan, dia tidak boleh melenting atau marah jika mana-mana pihak menegurnya. – Sudirman Mohd Tahir

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");