Jenayah

Jeritan anak selamat nyawa keluarga

ALOR SETAR – Sebuah keluarga kerugian kira-kira RM150,000 selepas rumah teres yang didiami mereka terbakar hampir 40 peratus dalam kejadian, awal pagi semalam.

Pemilik rumah, Ahmad Harun, 51, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 malam dipercayai akibat litar pintas dan ketika itu, semua ahli keluarganya sedang tidur.

“Saya baru saja lelapkan mata, sebelum dikejutkan dengan jeritan cemas anak yang memberitahu rumah kami terbakar,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Rakyat, Mergong di sini, semalam.

Menurutnya, anaknya Ariff Hakimi, 22, terjaga dari tidur selepas terhidu bau asap yang datang dari arah bilik bersebelahan bilik tidurnya.

“Bilik berkenaan memang dijadikan stor menyimpan barang dan ketika keluar dari bilik, asap memenuhi ruang dapur dan semakin tebal,” katanya.

Ahmad berkata, dia menyuruh anak-anak dan isterinya keluar menyelamatkan diri dan jirannya yang baru sedar berlakunya kebakaran terus menghubungi bomba berdekatan.

“Saya cuba masuk semula ke dalam rumah untuk memadam kebakaran, namun api semakin marak selain berlaku dua letupan, menyebabkan saya pasrah dan keluar semula,” katanya.

Menurut Ahmad, dia dan keluarganya sudah 14 tahun menghuni rumah terbabit, dan kejadian ini merupakan yang pertama buat mereka.

“Walaupun, dapur, stor dan ruang tamu musnah dalam kejadian itu, namun saya bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya.

Ahmad yang bekerja sebagai Penolong Jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) Mekanikal berkata isterinya, Nor Haslina Mawan, 48, pengsan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.

“Isteri saya hidap asma sejak 10 tahun lalu, mungkin dia terkejut atau keadaan asap tebal menyebabkan dia tak mampu bernafas dengan stabil dan pengsan,” katanya.

Menurutnya, turut berada di dalam rumah berkenaan adalah anak bongsu mereka, Hadhirah, 11, manakala anak keduanya Ahmad Danial,19 sedang melanjutkan pelajaran di Politeknik Seberang Perai.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.18 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Api berjaya dikawal jam 12.34 malam dan seorang wanita berusia 50-an dipercayai isteri pemilik rumah itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah dengan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan akibat pengsan.

Nur Hafizah berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan kerugian yang terlibat kebakaran itu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");