Sukan Hari Ini

‘Kalah 10-0 pun tak apa’

Kuala Lumpur: Bekas pemain negara Datuk Santokh Singh berpendapat skuad bola sepak kebangsaan perlu dibubarkan sepenuhnya untuk memberi peluang kepada pemain lain.

Bekas pemain kebangsaan era 1970-80an itu berkata, susulan persaraan empat pemain tonggak, sudah tiba masanya untuk pemain lain diberi peluang bagi memberi nafas baru kepada skuad Harimau Malaysia.

“Saya fikir sudah terlambat untuk membincangkan mengenai masalah ini sekarang. Tapi, secara peribadi, jika boleh, saya mahu semua pemain dalam pasukan negara sekarang disingkirkan dan beri peluang mereka yang menjadi simpanan pula bermain. Jika kalah 10-0 sekalipun saya tidak kisah.

“Jadi, saya tak faham kenapa kita hanya bercakap mengenai empat pemain ini.

“Jika anda beri pemain simpanan peluang bermain saya fikir mereka juga mungkin boleh bermain lebih baik daripada empat pemain ini,” kata Santokh, tonggak utama skuad kebangsaan yang layak beraksi di Sukan Olimpik Moscow 1980.

Keputusan kapten Safiq Rahim dan tiga lagi rakan sepasukannya di Johor DT Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal untuk menggantung but bersama skuad kebangsaan minggu lalu mengundang pelbagai reaksi kerana mereka baru berusia 28-30 tahun dan beraksi cemerlang bersama kelab.

Ketika menyatakan alasan persaraan, mereka berkata ia bertujuan memberi peluang kepada pemain muda, tetapi pemilik Johor DT Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula mendakwa kepincangan pihak pengurusan FAM serta sistem latihan skuad kebangsaan menjadi punca masalah itu berlaku.

Santokh yang kini berusia 64 tahun bagaimanapun menempelak alasan itu.

“Saya rasa semua pemain itu tidak mahu bersara awal, tapi ada orang yang mengarahkan mereka meninggalkan skuad negara. FAM sudah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan mereka. Tapi, pemain yang tidak memberikan aksi terbaik untuk negara.

“Sama ada mereka mahu bersara atau tidak, biarkan mereka pergi, kita masih ada pemain lain yang boleh juga bermain dengan baik,” kata Santokh ketika ditemui pada sidang media Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa IFC 9 Sebelah LKC kali-8 semalam.

Sementara itu, bekas rakan sepasukannya yang juga kapten skuad kebangsaan Datuk Soh Chin Aun berpendapat semua pemain perlu memberi keutamaan kepada tugasan negara.

“Terpulang kepada pemain untuk bersara kerana mungkin mereka ada alasan tersendiri. Tapi nasihat saya, selagi boleh berikan yang terbaik untuk negara, boleh sumbangkan sesuatu, anda perlu bermain untuk membuktikan yang anda anak Malaysia.

“Ketika dulu, semua pemain mahu bermain dengan skuad kebangsaan. Ketika itu duit (ganjaran) tak macam sekarang, lumayan. Masa kami dulu semua pemain nak main untuk negara demi memberikan sumbangan kepada Malaysia,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");