Berita Hari Ini

Kawal kualiti, kecurian getah

SEGAMAT – Lembaga Getah Malaysia (LGM) meminta pekebun kecil getah di negara ini supaya mendaftarkan diri dengan pihaknya untuk memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) bagi menikmati Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Leo Toyad berkata, sehingga kini, seramai 329,566 pekebun kecil getah telah memiliki kad PAT-G tersebut manakala seramai 45,883 belum lagi mendaftar.

“PAT-G antara langkah berkesan kami untuk mengenal pasti identiti pekebun kecil dan mencegah kecurian getah selain mengawal kualiti getah yang dihasilkan.

“Ia juga merupakan salah satu syarat untuk pekebun menikmati IPG. IPG ini akan diaktifkan apabila harga purata bulanan harga dagangan kurang daripada RM4.60 per kilogram atau harga ladang getah iaitu RM1.75 per kilogram dan pekebun kecil layak diberi bantuan sebanyak 30 sen per kilogram pada kandungan getah kering 50 peratus,” katanya semasa sidang media pada Program Sembang Getah dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Pihak Pengurusan Tertinggi LGM di Kampung Melayu Raya, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Mohd Akhbar Said; Pengarah LGM Wilayh Selatan, Hairul Erwan Juwaini; Pengarah Risda Negeri Johor, Sahlan Mahnoon dan Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap.

Menurut Mohd Leo, pada tahun ini sahaja, kerajaan telah memperuntukkan RM200 juta untuk IPG dan sehingga kini, sebanyak RM30 juta telah dikeluarkan untuk pembayaran IPG di seluruh negara, termasuk di Johor melibatkan RM2.4 juta.

Katanya, sewaktu Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) di Jakarta, baru-baru ini yang melibatkan Malaysia, Indonesia dan Thailand, kesemua negara juga telah bersetuju untuk meningkatkan penggunaan getah domestik.

“Kita juga bersetuju untuk kurangkan eksport getah sebanyak 615,000 tan di pasaran antarabangsa dalam tempoh enam bulan mulai Mac ini yang diyakini akan memulihkan semula harga komoditi itu.

“Ini merupakan salah satu langkah terbaik bagi mengelakkan lambakan stok sehingga menjejaskan harga komoditi itu seperti yang sedang berlaku sekarang,” katanya.

Pada masa sama, katanya, bagi mengurangkan kebergantungan pengimportan lateks daripada Thailand, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta kepada LGM untuk membeli peralatan seperti lori-lori mengumpul susu getah dan sebagainya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");