Membawang Hari Ini

Kebahagiaan berganda Yatt Hamzah

SEKALI lagi, kemanisan hidup berumah tangga memancarkan sinar kebahagiaan buat selebriti popular, Yatt Hamzah atau nama sebenarnya Haryati Hamzah.

Lebih manis, Yatt yang kembali berumah tangga bersama pilihan hatinya, Mohammad Zulfadhli Khiruddin kini hamil zuriat kedua selain bahagia di samping puteri sulungnya, Suci Hanania Abdul Mutalib.

Pastinya kehadiran lebaran tahun ini membawa seribu satu kebahagiaan buat dirinya.

“Alhamdulillah, Aidilfitri tahun ini lebih bermakna dengan adanya zuriat kedua dalam kandungan dan juga suami.

“Ini adalah nikmat yang paling berharga dan saya sangat bersyukur,” katanya kepada Zass.

Kehadiran Aidilfitri setahun sekali menjadikan semua umat Islam teruja menyambutnya dengan penuh meriah mengikut cara yang tersendiri.

Bakal beraya di Kota Bharu, Kelantan, Yatt bagaimanapun lebih selesa bersederhana dalam menyediakan persiapan berhari raya.

“Saya dan suami memang sangat bersederhana tapi dia ada meminta saya untuk membuat beberapa jenis kuih raya seperti coklat chip, almond london, biskut sugi dan tart.

“Kalau ikutkan memang setiap tahun saya buat tapi tahun ini saya agak sibuk namun saya akan cuba memenuhi permintaan suami.

“Sebenarnya sudah lama tidak membeli baju raya kerana saya ada label pakaian sendiri iaitu Suci by Yatt, jadi saya akan pakai apa saja yang ada.

“Yang penting saya dahulukan anak dan mak,” ujarnya.

Mengakui lebih gemar berkongsi rezeki dengan mereka yang lebih memerlukan, Yatt berkata kebahagiaan itu harus dikongsi bersama.

“Tidak salah sekiranya kita yang mampu ini berkongsi rezeki dengan mereka yang benar-benar memerlukan.

“Sudah tentu hikmahnya sangat besar apabila melihat mereka gembira,” katanya.

Beraya tanpa bapa

Dalam keterujaan menyambut Aidilfitri tahun ini, rasa kehilangan turut terasa dalam diri sementelahan pula Yatt baharu sahaja kehilangan bapa kesayangannya, Hamzah Hashim sekitar November tahun lalu.

“Saat ini saya sentiasa mengingati dan merindui arwah tapi saya reda dengan pemergiannya. Semasa hayatnya, hubungan kami sangat rapat dan sudah tentu raya tahun ini saya akan merasaikan ketiadaannya.

“Saya sentiasa mendoakan agar segala urusannya di sana dipermudahkan dan diletakkan di sisi orang yang beriman dan bertaqwa,” katanya.

Beralih pada perkembangan terbaharunya, selebriti berusia 36 tahun ini sibuk menguruskan perniagaan fesyen pakaiannya, Suci by Yatt.

“Ramadan tahun ini saya lebih sibuk berbanding tahun-tahun sebelumnya. Selain menguruskan butik, saya juga terlibat dengan penjualan-penjualan di luar butik seperti di Mood Republic di PWTC.

“Alhamdulillah perniagaan ini mendapat sambutan yang baik dan sebab itu masa saya lebih tertumpu kepada perniagaan.

“Adakalanya saya sendiri tidak menang tangan, tambahan pula dengan keadaan saya yang hamil empat bulan memang agak terbatas tapi inilah pengorbanan dan harga yang perlu dibayar apabila terlibat dalam bidang perniagaan,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");