Jenayah

Kelentong pelancong

Kuala Lumpur: Tiga peniaga berputih mata apabila beg tangan tiruan bernilai ribuan ringgit dijual di premis perniagaan mereka dirampas dalam operasi di Jalan Petaling di sini, kelmarin.

Dalam operasi dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur, kira-kira jam 11 pagi, beberapa pekerja dan pemilik yang sibuk melayan pelancong asing terkedu dan hanya mampu melihat barang jualan mereka dirampas anggota penguat kuasa.

Serbuan dilakukan selepas menerima aduan daripada pemilik sah jenama terkenal itu selain risikan anggota penguat kuasa KPDNKK sejak seminggu lalu.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, seramai 11 anggota termasuk pegawai penguat kuasa dikerahkan untuk menjalankan serbuan di tiga premis di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap tiga premis berkenaan menemui 394 beg tangan tiruan jenama mewah termasuk Louis Vuitton, YSL, Michael Kors dan Gucci.

“Operasi selama dua jam itu mendapati premis berkenaan aktif menjual beg tiruan kepada orang awam terutama pelancong asing.

“Semua beg dirampas dianggarkan bernilai RM9,810 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, beberapa pekerja di tiga premis itu diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, tiga pengusaha premis disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b), Akta Perihal Dagangan (APD 2011) yang jika sabit kesalahan bagi syarikat boleh didenda tidak lebih RM15,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya denda tidak lebih RM30,000.

“Bagi individu pula boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");