Jenayah

‘Kemik’ mengaku tidak bersalah

KUALA TERENGGANU- Suspek utama kes tetak seorang pemandu kereta Honda City dalam kejadian di Jalan Buluh Gading, di sini, 7 Julai lalu yang dikenali ‘Kemik’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, semalam.

‘Kemik’ atau nama sebenarnya M Suhaimi Mohd, 31, beralamat dari Kampung Kubang Jela, Manir, di sini, berdepan dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang parah ke atas mangsa menggunakan sebilah parang.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Berdasarkan pertuduhan, ‘Kemik’ didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan yang parah ke atas mangsa, Noor Hazlim Mamat, 43, menggunakan sebilah parang di Jalan Buluh Gading, di sini, lebih kurang jam 3.30 petang, 7 Julai lalu.

Dengan itu, ‘Kemik’ didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hafizah Mohd Sokran di hadapan Hakim Mohd Haidar Abdul Aziz.

Sejurus pengakuan tidak bersalahnya direkodkan, mahkamah menetapkan 25 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan lantikan peguam sebelum membenarkan “Kemik’ dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan bersyarat.

Antara syarat yang dikenakan adalah tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kejadian selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sepanjang tempoh perbicaraan.

Sebelum ini, akhbar ada melaporkan seorang lelaki terpaksa dikejarkan ke hospital apabila ditetak dengan parang oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Jalan Buluh Gading, di sini, selepas membunyikan hon kepada pemandu yang memotong keretanya.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu kereta Honda City bersama isteri dan dua anaknya terkandas dalam kesesakan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk beraya dari Kemaman ke Besut, jam 3.30 petang.

Bagaimanapun, suspek utama kes berkenaan akhirnya ditahan polis ketika berada di sebuah bangunan di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, setelah hampir 12 hari menyembunyikan diri.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");