Sukan Hari Ini

Kempen #1M1H eratkan orang ramai dengan bekas atlet

Muar: Penduduk bandar Muar berpeluang bertemu dan bermesra dengan bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara menerusi kempen ‘1Malaysia 1Hope – Giving Back To The Nation’ (#1M1H) yang akan dianjurkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Antara atlet yang dijangka memeriahkan program yang menyasarkan lebih 50,000 penduduk bandar itu adalah legenda bola sepak negara Datuk Santokh Singh, Khalid Ali, James Wong, Hasan Sani, Shahrin Majid, bekas jaguh lumba basikal Rosman Alwi, Fazlun Abas, Noraidah Ariffin (bola jaring), Bah Chu Mei (olahraga), Siti Aishah Sudin, Suzana Nayan (memanah) dan ramai lagi.

Pengerusi YAKEB Datuk Malek Noor berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim merangkap Ahli Parlimen Muar berhubung kempen itu.

“Datuk Razali memberi maklum balas positif mengenai kempen itu dan kami sedang mencari tarikh sesuai untuk menganjurkannya, kemungkinan pada September atau Oktober.

“Kempen #1M1H ini antara usaha kami bagi menghargai semula sokongan orang ramai terhadap bekas atlet yang berjuang mengharumkan nama negara sebelum ini dengan mereka akan menjalankan pelbagai aktiviti bersama masyarakat termasuk anak yatim,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Muar, baru-baru ini.

Malek berkata, beliau mendapati bekas atlet negara masih dihargai dan mendapat sokongan ramai apabila kelibat mereka masih mendapat tumpuan dengan ramai yang mahu mengambil gambar serta mendapatkan tandatangan.

“Jadi, kami harap menerusi kempen #1M1H ini mereka dapat memberi semula kepada masyarakat menerusi kepakaran masing-masing. Ini termasuk memberi bimbingan asas kepada kanak-kanak dalam kempen berkenaan.

“Sebenarnya kempen #1M1H ini sudah bermula Mei lalu bersama anak gelandangan. Ia mendapat sambutan menggalakkan dan mencapai objektif yang ditetapkan. Malah, kami juga mengalu-alukan pembabitan syarikat korporat dalam memberi sumbangan dan sokongan,” ujarnya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");