Jenayah

Kepung guna kontena

Kajang: Tangkap ‘pelesit’ lebuh raya dengan menggunakan dua lori kontena. Itu kaedah digunakan pakai polis daerah Kajang dalam usaha memberkas lebih 250 penunggang motosikal yang berlumba haram di Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) di sini.

Dalam operasi khas bermula jam 1 pagi semalam, polis turut menggunakan 21 kereta bagi menutup laluan lebuh raya itu bagi memastikan semua mat rempit itu dapat dikepung.

Tindakan itu turut disaksikan wartawan yang mengikuti Ops Bersepadu/Op Samseng Jalan Raya diadakan 108 anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, narkotik dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang diketuai Deputi Superintendan Azmi Wahid.

Hasil risikan polis selama seminggu mendapati kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Dukung di lebuh raya itu menjadi kawasan ‘panas’ untuk anak muda berlumba pada setiap hujung minggu.

Aksi berbahaya yang dipamerkan mat rempit semuda usia 14 tahun menarik ratusan penonton membabitkan kumpulan penunggang motosikal yang turut berlumba beramai-ramai di lebuh raya itu.

Malah, kebanyakan mereka turut membawa teman wanita bawah umur untuk menyaksikan pesta lumba haram itu.

Berdasarkan pemerhatian, pasukan pemantau polis memasuki kawasan berkenaan seawal jam 1 pagi sebelum bersiap sedia di lokasi masing-masing untuk mengepung semua mat rempit.

Sebaik semua kawasan itu ditutup, semua penunggang dan pembonceng bagai hilang arah malah ada yang berlegar-legar di tengah jalan sebelum ditahan.

Malah, ada yang cuba untuk melanggar anggota polis yang sudah menutup jalan namun tidak berjaya diberkas.

Operasi yang bermula jam 2 pagi itu menyaksikan lebih 250 penunggang dan pembonceng ditahan polis selepas gagal meloloskan diri.

Mereka diberkas secara berperingkat sejurus kedua-dua laluan di lebuh raya itu ditutup menggunakan lori kontena dan kereta polis.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua daripada penunggang motosikal ditahan positif mengambil syabu manakala seorang lagi berusia 21 tahun dikehendaki polis atas kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Seramai 73 penunggang motosikal didapati tidak memiliki lesen, tiada cukai jalan (24), tiada perlindungan insurans (7), menggunakan nombor plat tidak ikut spesifikasi (40), tiada cermin sisi (17), tiada pelekat P atau L (13), kesalahan ubahsuai ekzos (3), kesalahan ubahsuai motosikal (2), seorang yang tidak memakai topi keledar manakala 15 lagi adalah penunggang bawah umur,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 51 motosikal ditahan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, seorang remaja wanita berusia 15 tahun yang ditahan bersama teman lelakinya mengaku baru berkenalan dua minggu lalu sebelum dibawa menonton lumba haram di kawasan itu.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");