Membawang Hari Ini

Ketawa untuk kekal muda

Menganggap wajah keanak-anakan dimiliki sebagai anugerah daripada Yang Maha Esa, pelakon Zoey Rahman, 31, enggan diri dilabel lembik.

Justeru, di sebalik wajah jambunya dia sebenarnya seorang yang meminati aktiviti ekstrem seperti sukan luncur udara atau paragliding, menyelam dan mendaki.

Zoey yang sudah 12 tahun aktif dalam karier seni berkata, ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini, dia sempat meluangkan masa mendaki Bukit Keluang di Besut, Terengganu pada raya kedua.

“Jangan pandang sebelah mata walaupun wajah saya keanak-anakan. Jiwa saya tetap kental dan sukakan aktiviti lasak.

“Saya sukakan alam semula jadi seperti laut, bukit dan gunung. Disebabkan itu, saya pasti luangkan masa untuk melakukan apa saja aktiviti bersesuaian,” katanya.

Kata Zoey, dia juga gemar aktiviti berbasikal dan turut menyertai satu acara berbasikal yang dianjurkan di Putrajaya, baru-baru ini.

“Saya mengutamakan senaman. Selain menjaga pemakanan, aktiviti bersenam juga bagus untuk stamina badan dan kesihatan,” katanya.

Selain aktif melakukan aktiviti sukan lasak, Zoey kalau ada masa terluang pasti berkunjung ke gimnasium untuk bersenam.

Katanya, senaman sangat penting untuk memastikan jantung sihat. Walau sesibuk mana sekalipun, dia akan tetap ke gimnasium.

Mengenai soal pemakanan, Zoey yang dikenali sebagai pengacara program Gerak Geri Gasing di Astro Ceria berkata, dia akan elak makanan berminyak.

Bukan hanya itu, dia juga jarang menikmati makanan segera dan tidak minum air berkarbonat kerana sedar akan kesannya pada kesihatan.

“Apa yang dilakukan kerana saya sangat mengambil berat soal kesihatan pada jangka masa panjang antara 10 hingga 15 tahun akan datang atau lebih.

“Gaya hidup sihat perlu saya amalkan dari sekarang. Apatah lagi umur saya makin meningkat dan kini mencecah 30-an.

“Sebenarnya, makanan kesukaan saya adalah pisang. Dengan hanya memakan pisang, saya sudah memperoleh tenaga untuk badan,” katanya.

Selain senaman, sukan dan menjaga pemakanan, Zoey juga sentiasa ceria dan suka ketawa. Ia juga dianggap sebagai terapi diri.

“Saya suka gelak kerana tidak mahu tekanan. Tambah pula apabila ketawa, secara tidak langsung menunjukkan ‘mood’ seseorang itu ceria.

“Saya juga berasakan dengan ketawa juga membantu melambatkan proses penuaan. Sampai sekarang syukur Alhamdulillah, wajah saya kekal muda,” katanya.

Mengakui sukar untuk mendapat kepercayaan melakonkan watak serius, Zoey akui tidak sedikit pun membuatkannya kecil hati.

“Ini adalah anugerah Tuhan. Sebagai hamba-Nya, tidak wajar saya merungut kecuali berasa sangat bersyukur,” katanya.

Berkongsi mengenai penampilan diri, Zoey berkata dia bukan fanatik pada fesyen dan lebih gemar imej ringkas.

“Kebiasaannya saya akan pastikan pakaian digayakan sesuai dengan majlis. Paling mudah, saya suka menggayakan kemeja-T berwarna hitam.

“Boleh dikatakan untuk kemeja-T saja saya memiliki lebih 20 helai koleksi peribadi. Saya memilih warna hitan kerana sesuai untuk apa saja majlis dihadiri.

“Ada kalanya ketika menghadiri majlis formal, saya tidak perlu pening nak fikir dan cari pakaian sesuai. Dengan menggayakan kemeja-T hitam yang dipadan dengan jaket pun memadai,” katanya.

Kata Zoey, dia juga baru mengikat kontrak berlakon sinetron 200 episod berjudul Jomblo di Indonesia. Tumpuannya kini untuk memahat nama di persada seni Indonesia dan sangat menghargai peluang diperoleh.

Namun, dia juga masih sedia terima tawaran berlakon di negara ini untuk telefilem dan juga program TV.

Pelakon Dawai Asmara di TV3 itu berkata, buat masa sekarang tidak sesuai untuk berlakon drama berepisod.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");