Panasnya Hari Ini

Khalid Bidas Kenyataan Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR : Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad berkata, sebelum wujudnya parti itu sekalipun, pembangkang dalam keadaan berbalah antara satu sama lain.

Beliau berkata demikian ketika membidas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan bahawa pembangkang akan ‘tenang’ sekiranya AMANAH dibubarkan.

“Dari sejak 2008 lagi, PAS menimbulkan banyak masalah terhadap usaha kerjasama dan kesatuan pembangkang untuk menghadapi UMNO/BN.

“Masalah perbalahan antara parti pembangkang ini tidak akan selesai selagi mana PAS tidak insaf dan terus ingin menegakkan benang basahnya. PAS sentiasa menyalahkan pihak lain sedangkan dirinya sendiri yang jauh lebih bersalah dan bermasalah.

“Mutakhir ini ingin menyalahkan AMANAH pula. Dengan sikap angkuh sebegini, bagaimana kesatuan pembangkang boleh tercapai?” soalnya menerusi blog beliau, hari ini.

Terdahulu, Tuan Ibrahim berkata, blok pembangkang akan tenang sekiranya Khalid menutup mulut atau AMANAH dibubarkan.

Selain itu, Tuan Ibrahim berkata, sikap tidak boleh bekerja di bawah orang lain antara sebab munculnya pelbagai parti politik baharu.

Menjawab tuduhan itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, perkara tersebut bukanlah satu isu, tetapi orang yang bekerja di bawah parti politik itu perlu membawa ke arah yang terbaik.

“Sebelum penubuhan AMANAH kami telah berikan tempoh 100 hari untuk melihat hala tuju pimpinan baru dan kami melihat ianya jauh terpesong dari hala tuju yang di bawa oleh Tuan Guru Nik Aziz.

“Oleh itu, terpaksalah kami tubuhkan AMANAH supaya hala tuju yang diusahakan sejak dahulu terus diusahakan. Kami istiqamah dengan usaha tersebut walaupun tidak istiqamah dengan jemaah PAS,”jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru agar Tuan Ibrahim supaya meneruskan usaha mengubah pemikiran PAS supaya parti Islam itu mengakui kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan.

“Tetapi sekiranya jelas bahawa PAS tidak akan kembali kepada pendekatan asalnya, iaitu bersama parti pembangkang dalam menentang UMNO/BN, maka Tuan Ibrahim perlu mengakui bahawa usaha tersebut tidak ke mana.

“Pada ketika itu, Tuan Ibrahim perlu membuat keputusan untuk terus bersama PAS yang telah hilang hala tujunya atau bersama Pakatan Harapan dalam usaha menjatuhkan UMNO/BN,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");