Berita Hari Ini

Lebih ramai doktor wanita diperlukan

KUALA TERENGGANU – Kekurangan doktor wanita dalam bidang Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) di seluruh negara menyebabkan permintaan menempatkan doktor wanita bagi menyambut kelahiran bayi belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh di negara ini.

Yang Dipertua Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, cadangan berkenaan sehingga kini masih belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh termasuk di negeri ini kerana kekurangan doktor wanita dalam bidang O&G.

“Memang ia merupakan satu isu dan kita cuba menangani secara logik dan rasional mengikut kemampuan dan keadaan masa.

“Pada masa ini cadangan itu belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh mungkin pada masa akan datang apabila doktor wanita mencukupi dalam bidang O&G dan baharulah perundangan dan dasar mampu dilakukan berhubung cadangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Perdim Kali ke-2 di Hotel Primula, malam semalam.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dipetik sebagai berkata kekurangan doktor wanita bidang Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) antara faktor kerajaan belum mengkhususkan hanya doktor wanita menyambut kelahiran bayi di hospital awam.

Dr Hilmi berkata, kerajaan bercadang mengkhususkan doktor wanita sahaja menyambut kelahiran bayi di hospital terbabit.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Shukri berkata, dalam keadaan kepakaran yang tidak mencukupi ia sukar untuk dilaksanakan tetapi semua pengamal perubatan diwajibkan untuk mengetahui semua bidang termasuk bidang perbidanan dan perlu bersedia 24 jam.

“Namun ada kelebihan jika doktor lelaki menyambut kelahiran bayi. Sebagai contoh, dalam kecemasan (bapa bayi tiada di sisi ibu bersalin), doktor (lelaki) yang menyambut bayi itu boleh membantu azan dan iqamatkan bayi sebaik dilahirkan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");