Jenayah

Maut terkena kipas bot

TUMPAT: Seorang remaja lelaki maut selepas terjatuh ke dalam laut dan terkena kipas bot apabila bot dinaikinya bersama rakan dipukul ribut ketika memancing di Pantai Geting, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Mohammad Faiz Wahib, 18, meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami cedera parah di kepala, sementara rakannya, Azwa Mat Nor, 30, yang turut terjatuh dari bot, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya keluar memancing dengan menaiki bot dari Kuala Besar di Kota Bharu.

“Ketika tiba di Pantai Geting, bot terbabit dipukul ribut menyebabkan mereka tercampak ke dalam laut. Rakannya (Azwa) berjaya menyelamatkan diri dengan menaiki semula bot itu, tetapi mangsa cedera terkena kipas bot.

“Akibat kejadian, mangsa cedera di telinga kanan, dahi serta kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurut Zaharudin, jenazah mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga dari Kampung Geting.

Beliau turut menasihati penduduk setempat agar merancang aktiviti dan tidak turun ke laut berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Pastikan keadaan cuaca baik. Kalau laut bergelora, elak keluar memancing kerana kita tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");