Jenayah

Mayat berlumpur ditemui di tali air

MELAKA TENGAH – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan berlumpur dipercayai terjatuh selepas motosikal ditunggang terbabas ke dalam tali air di Balik Bukit, Bukit Lintang di sini, semalam.

Khairuddin Khamis, 41, ditemui dalam keadaan tertiarap berbaju T dan berseluar pendek oleh orang awam yang melalui Lorong Atmo berkenaan, kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari Lorong Sidang Husin ke Lorong Atmo, terbabas sendiri ke dalam tali air berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa dipercayai maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

“Terdahulu, sepasukan aggota dari unit forensik tiba di lokasi kejadian membuat pemeriksaan sebelum mengesahkan tiada unsur jenayah dikaitkan,” katanya.

Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, abang mangsa, Kamarudin Khamis, 44, berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa adiknya itu apabila diberitahu oleh abang ipar yang melalui kawasan tersebut.

“Dalam beberapa hari ni, arwah tinggal seorang diri apabila isteri bersama dua anaknya yang berusia antara 5 dan 7 tahun pulang ke rumah emak mereka di Kuala Lumpur.

“Saya hanya akan tahu dia berada di rumah bila tengok motosikalnya selain rumahnya terang apabila malam. Petang semalam (kelmarin) kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika saya mahu keluar, dia berada di rumah tapi bila saya balik dalam jam 6.30 petang motornya tiada,” katanya.

Kamarudin berkata, bagaimanapun sehingga jam 1 pagi semalam, adiknya itu masih belum pulang berikutan rumah gelap dan terkejut diberitahu dia ditemui di tali air.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");