Jenayah

Menangis bapa di penjara

ALOR SETAR: Seorang gadis mengalirkan air mata selepas Mahkamah Sesyen semalam menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM20,000 terhadap bapanya, seorang anggota polis berpangkat koperal atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah.

Hakim, Azhar Mokhtar membuat keputusan itu terhadap Sazali Hashim, 56, selepas meneliti kertas siasatan dan mendengar pengakuan saksi.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Lim Wei Yong yang mewakili Sazali untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut memerintahkan jumlah jaminan daripada RM4,000 dinaikkan kepada RM8,000.

Pada pertuduhan pertama, pada 18 Oktober 2012, kira-kira jam 11 pagi hingga 12.00 tengah hari, Sazali yang ketika itu bertugas di Balai Polis Kuah, Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, didakwa meminta suapan wang tunai bernilai RM150 daripada Mohd Asri Bulat agar tidak mengambil tindakan terhadap Mohd Asri yang memiliki air ketum dan untuk memulangkan semula kad pengenalan semasa sekatan jalan raya di Jalan Batu Asah ,Langkawi.

Manakala pertuduhan kedua, pada hari yang sama kira-kira jam 7 malam, Sazali didakwa memperoleh RM150 secara rasuah daripada Mohd Asri Bulat, bertempat di Restoran Selihah Seafood (Tom Yam) ,Langkawi.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali nilai suapan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");