Jenayah

Meninggal selepas tiga jam dirawat

JERANTUT: Seorang wanita maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Kilometer (KM) 27, Jalan Jerantut – Maran, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, mangsa, Rugayah Abdullah, 32, mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggalkan dunia di hospital itu kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati, kenderaan dipandu mangsa dari arah Jerantut menuju ke Tekam bertembung sebuah treler dari arah bertentangan.

Menurutnya, pertembungan itu menyebabkan mangsa cedera parah kerana terperosok bawah treler dan tersepit.

“Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa tersepit sebelum dihantar ke hospital. Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira tiga jam selepas kejadian.

“Pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, difahamkan mangsa yang bekerja sebagai seorang kerani di pejabat Felda Sungai Tekam selamat dikebumikan di kampung neneknya di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Tekam Getah kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Mangsa yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak itu dikatakan berasal dari Felda Kota Gelanggi 2, bagaimanapun menetap di Felda Padang Piol.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");