Jenayah

Miliki pistol, tukang cat kereta dijel 8 tahun, 6 sebatan

KOTA BHARU: Seorang tukang cat kereta dihukum penjara lapan tahun dan dikenakan enam sebatan oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku salah memiliki sepucuk pistol jenis Revolver, tahun lalu.

Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Azman Razali, 32, dari Kampung Landak, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini.

Tertuduh mengaku salah didakwa memiliki pistol berkenaan di Jalan Bukit Marak, Chabang Tiga Haji Kasim, Binjai di sini, pada jam 1 pagi, 7 Disember 2015.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Tertuduh juga dikenakan hukuman penjara empat tahun bagi tuduhan kedua memiliki empat peluru pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dihukum mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1990 (Akta 206) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya penjara dan sebatannya dikurangkan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norazlinawati Mohd Arshad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

“Tertuduh tidak mempunyai hak untuk memiliki senjata tersebut dan senjata itu berfungsi dengan baik serta boleh mengancam keselamatan nyawa masyarakat awam. Mohon satu hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak mengulanginya,” katanya.

Ahmad Bazli mengarahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan.

Dalam serbuan lalu, pengadu bersama anggota pergi ke lokasi dan melihat sebuah kereta jenis Perodua MyVi dipakir di tengah jalan. Pemeriksaan ke atas pemandunya menjumpai lima botol mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.

Pemeriksaan lanjut juga menjumpai pistol berkenaan terselit pada bahagian hadapan seluar tertuduh.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");