Sukan Hari Ini

‘Naga lambang inspirasi saya’

Dinard, Perancis: Pemain termahal dunia, Gareth Bale percaya lambang naga pada jersi pasukan Wales antara motivasi tambahan menjelang aksi terbesar buat negaranya dalam tempoh sedekad apabila berdepan Belgium dalam aksi suku akhir Euro 2016, esok.

Dengan pasukan jiran, England masih menjalankan bedah siasat susulan persembahan memalukan dalam kempen Euro kali ini, Bale sebaliknya gembira melihat Wales muncul satu-satunya pasukan dari Britain yang masih kekal dalam kejohanan itu di samping memuji keakraban rakan sepasukan sebelum aksi suku akhir menentang Belgium.

“Saya amat gembira kerana muncul negara terakhir yang masih tinggal. Ini masa untuk kami menyinar,” katanya.

“Kami berjaya mengatasi England kali ini. Kami amat gembira dan berbangga untuk mengibarkan bendera kami.

“Kami tahu mengenai suku akhir 1958 (pada Piala Dunia menentang Brazil) tetapi sejak aksi terbesar itu, kami masih menunggu aksi seperti itu dan teruja untuk menghadapinya,” kata Bale.

Ditanya apakah motivasi bagi dirinya, Bale yang dibeli Real Madrid dengan harga 90 juta pound (RM481 juta) dan dilaporkan meraih gaji sekitar 250,000 pound (RM1.3 juta) seminggu di Real Madrid menjawab: “Hanya naga pada baju saya. Itu saja yang saya perlukan,” katanya.

Bale dianggap antara tonggak penting dalam memberi impak berkesan kepada Wales yang sudah mengesahkan slot ke suku akhir.

Dalam aksi kelayakan sebelum ini, dia memainkan watak utama dengan membantu Wales meraih 11 jaringan apabila mencetak tujuh gol dan mencipta dua gerakan kepada rakan untuk membuat jaringan.

Dia juga sudah merekodkan tiga jaringan daripada tujuh yang diraih Wales di Perancis selain gol sendiri pemain Ireland Utara ketika di peringkat kumpulan.

“Kami mempunyai pemain hebat sepanjang kejohanan ini. Kami mempunyai lebih daripada dua pemain yang baik. Kami mempunyai pasukan yang sangat baik dan kami berada di suku akhir tanpa masalah,” katanya.

Jelas Bale, jaringan tunggalnya ketika membenam Belgium pada pusingan kelayakan sebelum ini sedikit sebanyak menambah keyakinan pasukannya untuk menghadapi aksi suku akhir nanti.

“Kami menewaskan mereka sebelum ini dan kami gembira dengannya. Ia gol paling berharga buat Wales, terutama pada masa itu,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");