Berita Hari Ini

Nelayan pukat tunda wajib guna TED

KUALA TERENGGANU – Kerajaan melalui Jabatan Perikanan akan meletakkan syarat penggunaan alat Peranti Penyisih Penyu (TED) sebagai syarat lesen ke atas nelayan pukat tunda musim tengkujuh (PTMT), bermula November ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, SMILE TED merupakan alat yang direka khas oleh penyelidik Jabatan Perikanan.

Menurutnya, penggunaan TED bukan sahaja bagi menyelamatkan spesies penyu dan mamalia marin dari terperangkap dalam pukat, malah ia juga dapat meningkatkan hasil tangkapan nelayan serta hasil tangkapan tidak bercampur sampah dan kotoran.

“Pada Januari lalu, nelayan PTMT Kemaman menjadi komuniti pertama yang menggunakan TED di rantau Asia Timur. Hasil kajian penggunaan TED ini di Kemaman mendapati, kaedah ini mampu meningkatkan pendapatan nelayan antara tiga hingga lima peratus.

“Di samping itu, ia merupakan ‘exit plan’ kepada pengusaha pukat tunda khasnya zon B yang ingin menangkap sumber udang supaya menggunakan TED ini.

“Penggunaan SMILE TED ini juga salah satu langkah kerajaan bagi memenuhi syarat-syarat luar negara seperti Amerika Syarikat yang meletakkan syarat penggunaan TED bagi tujuan eksport hasil tangkapan udang ke negara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan TED, Bantuan Bencana, Touch Point dan Dialog/Bicara Nelayan yang diadakan di Akademi Perikanan Malaysia, Chendering, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan; Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad.

Jelas Ahmad Shabery, penggunaan TED juga dapat mengurangkan penangkapan ikan baja sebanyak 12 hingga 15 peratus, serta mampu mengurangkan penggunaan bahan api diesel.

“Penggunaan SMILE TED ini dapat menyelamatkan 100 peratus anak penyu tersangkut dari pukat tunda kurang dari 3 minit. Kecekapan peralatan ini telah diperakui oleh kumpulan pakar dari Amerika Syarikat.

“Sebab itu buat peringkat permulaan ini, kita akan agihkan SMILE TED secara percuma kepada 192 nelayan PTMT yang aktif di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur untuk menggalakkan penggunaannya,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");