Sukan Hari Ini

Nicol Tekad Rampas Semula Ranking No 1 Dunia

KUALA LUMPUR: Selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu pada musim lalu, jaguh skuasy negara, Datuk Nicol Ann David kini kembali dengan misi merampas semula ranking No 1 dunia yang menjadi milik pemain Mesir, Nour El Sherbini.

Atlet kelahiran Pulau Mutiara itu menegaskan misi tersebut menjadi suntikan semangat buat dirinya untuk terus berlatih bersungguh-sungguh dalam usaha mengembalikan semula prestasi terbaiknya.

“Gelaran No 1 (dunia) sentiasa menjadi sasaran mana-mana pemain. Atas sebab itu saya berlatih bersungguh-sungguh kerana corak latihan akan menentukan rentak permainan anda selepas ini.

“Ia jadi suntikan motivasi kepada saya. Perasaan untuk kembali menduduki ranking teratas sentiasa membuak-buak dan itulah harapan setiap pemain,” katanya pada sidang media kejohanan Jemputan Skuasy Wanita Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) 2016 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.

Pemain berusia 33 tahun itu berkata sesi latihan off season selama empat minggu di Amsterdam banyak membantunya memulihkan stamina dalam menghadapi musim baharu yang akan membuka tirainya dengan kejohanan Terbuka Australia di Melbourne, bulan depan.

“Kempen musim lalu tidak seperti diharapkan, oleh itu sesi latihan off season amat penting. Saya kembali fokus pada latihan dan memastikan persiapan untuk musim baharu berjalan dengan lancar,” katanya.

Nicol kini berada di Malaysia untuk beraksi pada kejohanan Jemputan Skuasy Wanita SRAM 2016 yang akan berlangsung pada Rabu hingga Ahad ini.

Kejohanan pemanas badan yang julung kali diadakan itu turut disertai pemain No 8 dunia, Omneya Abdel Kawy, Joelle King (No 9) dari New Zealand, pemain India Joshna Chinappa (No 10) , Jenny Duncalf (NO 14) dari England dan juga rakan senegara, Delia Arnold (No 18).

Pada kejohanan itu enam pemain yang bertanding dibahagikan kepada dua kumpulan dengan Nicol, Joshna dan Jenny diletakkan dalam Kumpulan A manakala Omneya, Joelle dan Delia dalam Kumpulan B.

Kesemua pemain akan beraksi mengikut format round robin dengan dua pemain terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Diminta mengulas mengenai kejohanan yang tidak menawarkan sebarang ganjaran itu, Nicol menganggap wang bukan segalanya kerana perkara yang paling penting adalah prestasinya pada acara tersebut.

“Bagi saya kejohanan ini merupakan sebahagian daripada sesi latihan pemanas badan dan acara penting yang akan membantu menilai tahap prestasi saya pada musim baharu yang akan datang.

“Ia bukan mengenai wang tetapi lebih kepada apa yang anda mahu capai. Lakukan dengan sepenuh hati, berusaha keras dan lihat apa hasilnya,” kata Nicol.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");