Panasnya Hari Ini

Parti Baharu : Kata Tidak Takut, Kenapa Maki Hamun?

KUALA LUMPUR : Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menyindir pemimpin UMNO/BN yang mendakwa bahawa parti itu tidak takut dengan sebuah parti baharu yang akan ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ujarnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin UMNO/BN bahawa mereka tidak takut bagaimanapun dalam masa yang sama mengutuk cadangan itu disifatkan sebagai aneh.

“Mereka bagaikan hilang akal mengutuk cadangan itu dengan menggunakan istilah dan label seperti ‘menganjingkan’, merugikan rakyat, longgokan sampah, memecahbelahkan Melayu, Dr Mahathir ganti Anwar sebagai ketua pembangkang dan bermacam lagi.

“Kalau parti baru yang dicadangkan itu akan gagal dan UMNO/BN tidak terancam, kenapa macam orang mabuk todi kutuk dan maki hamun?”soalnya menerusi blog beliau.

Ujarnya, sekiranya kerajaan UMNO/BN tidak takut dengan parti baharu yang belum dinamakan itu, pemimpin kerajaan perlu tumpukan perhatian dan tenaga menyokong serta menguar-uarkan ketulusan dan kemulusan UMNO/BN.

“Atau mereka sebenarnya tahu parti baru dan pakatan yang akan disertainya berkeupayaan melemahkan lagi UMNO/BN yang sudah sememangnya lemah sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2013?

“Kalau mereka tidak takut, mengapakah mereka mengeluarkan senarai palsu kepemimpinan parti itu dan memulakan kempen fitnah ke atas orang pada jangkaan mereka akan menerajui parti itu?”soalnya lagi.

Beliau turut mendakwa, UMNO kini sudah berpecah-belah akibat pelbagai isu dalaman parti dan negara.

“Pemimpin yang kritik Najib disingkir. Dr Mahathir berhenti jadi ahli. Skandal 1MDB meledak. ‘Derma Arab’ RM2.6 bilion masuk akaun peribadi Najib. Ekonomi merudum. GST dilaksanakan. Secara teorinya, kerajaan sudah muflis,”ujarnya.

Terdahulu, Tun Mahathir yang mengumumkan keluar dari UMNO pada Februari lalu telah mengumumkan akan menubuhkan satu parti politik baharu dan akan membentuk satu blok pembangkang yang lebih besar bagi menjatuhkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");