Jenayah

‘Pegawai’ larikan wang simpanan

TUMPAT – Seorang suri rumah rugi wang tunai RM3,800 apabila beg duitnya lesap dilarikan lelaki mengaku pegawai dari sebuah agensi yang kononnya mahu menyalurkan bantuan baiki rumah, dalam kejadian di Kampung Kubang Batang, di sini.

Mangsa, Siti Fatimah Ahmad, 44, berkata, dia bersendirian di rumah ketika didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang berpakaian kemas seperti seorang pegawai kira-kira jam 10 pagi, Isnin lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di tangga sebelum disapa seorang lelaki menaiki motosikal.

“Dia datang dengan motosikal, kata nak tengok rumah, nak bagi bantuan baiki rumah.

“Saya percayalah memandangkan rumah saya dah sangat uzur, lantainya banyak berlubang dan bumbung bocor sana sini.

“Lebih setengah jam dia ambil maklumat peribadi saya dan catat dalam buku. Tapi dia bercakap, mukanya tak pandang saya,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu kemudiannya mendakwa haus dan meminta air minuman.

“Saya terus pergi dapur, waktu itu dia ada saja dekat tangga.

“Mungkin dia naik sama tapi saya tak perasan, lagi pun dapur saya terlindung dari ruang tamu.

“Beg yang berisi duit RM3,800 itu saya letak dalam almari kecil berisi kain, dekat dengan pintu utama,” katanya.

Siti Fatimah berkata, belum sempat dia menghidangkan air buat lelaki berkenaan, dia terdengar bunyi enjin motosikal dihidupkan.

“Masa dekat dapur, saya dengar dia melaung cakap tak jadi minum air, dia nak minum dekat kedai kopi, lepas itu terus dia hidupkan enjin motosikal.

“Saya cepat-cepat ke depan semula. Masa lalu ruang tamu, saya terkejut tengok pakaian dalam almari berselerak atas lantai. Saya fikir kucing punya kerja.

“Tapi bila periksa beg duit dah tak ada, saya baru sedar lelaki itu sebenarnya pencuri,” katanya.

Tambahnya, dia tidak mampu bertindak memandangkan lelaki berkenaan telah berlalu menaiki motosikal.

“Saya hanya dapat tengok motosikal itu pergi, nak melaung minta tolong bukan ada yang dengar sebab rumah saya terpencil dikelilingi kebun.

“Hanya rumah saya dalam kebun ini, nak masuk memang susah sikit sebab tiada jalan,” katanya.

Siti Fatimah tidak mempunyai zuriat dan tinggal bersama suaminya, Syed Mohamad Syed Abdullah, 70, namun, ketika kejadian suaminya keluar bekerja di kilang kayu di Kampung Sireh, Kota Bharu.

“Wang itu hasil titik peluh suami saya yang memperoleh pendapatan RM15 sehari serta wang zakat yang disedekahkan orang ramai pada Ramadan lalu,” katanya yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Wakaf Bharu, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");