Isu Panas

Pengundi bawah 50 tahun jadi penentu

KUALA TERENGGANU – Pengundi berumur di bawah 50 tahun menjadi kumpulan terbesar yang akan menentukan kepimpinan kerajaan peringkat negeri dan negara pada PRU14.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, kumpulan tersebut mempunyai potensi yang boleh mempengaruhi berlaku peralihan kuasa termasuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Berdasarkan perkembangan berlaku di peringkat nasional dan negeri, beliau turut berharap kumpulan pengundi terbabit berani melakukan perubahan kepimpinan bukan hanya di peringkat negeri malah negara.

“Mereka dapat maklumat dengan lebih cepat. Mereka inilah yang bakal menentukan siapa yang sebenarnya akan memimpin negeri Terengganu mahu pun kerajaan Malaysia.

“Sebab itu, kita (Pas) mengharapkan maklumat-maklumat, kefahaman dan penjelasan ini (disebar) supaya generasi baharu ini lebih bermaklumat dan boleh membuat pilihan yang terbaik dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang, yang akan meletakkan tanggungjawab bagi menjaga dan memenuhi keperluan rakyat di negeri ini sendiri,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Terengganu di Jalan Sultan Omar, di sini.

Satiful Bahri yang juga Adun Paka berkata, Pas tegas dengan dasar perjuangan meletakkan Islam dalam semua hal termasuk urusan pentadbiran sekiranya Pas berjaya melangkah ke Wisma Darul Iman.

Beliau juga turut mengharapkan rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa di negeri ini supaya tidak melepaskan peluang bagi memastikan perubahan berlaku yang boleh memberi manfaat besar kepada negara.

“Saya rasa cukuplah dalam suasana yang ada ini dengan perkembangan (politik semasa) yang berlaku, permasalahan-permasalahan yang berada di hadapan mata kita sendiri supaya rakyat berani buat perubahan.

“Perubahan untuk kita (Pas) kembali ke Wisma Darul Iman. Perubahan yang boleh manfaat yang besar kepada rakyat Terengganu yang berbilang agama dan bangsa untuk kita (Pas) letakkan Islam sebagai dasar yang selamat di dunia dan akhirat,” tegasnya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");