Perak Hari Ini

Penipuan Peratusan Beras: Kementerian Lakukan Siasatan

TELUK INTAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi bahagian Kawal Selia Padi dan Beras akan melakukan siasatan terhadap dakwaan berhubung penipuan peratusan beras hancur yang dijual dengan harga mahal.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihak terbabit akan menyiasat perkara itu untuk memastikan sama ada terdapat penipuan seperti yang didakwa di dalam laporan berkenaan.

Tegasnya, beliau telah membawa perkara tersebut ke peringkat mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu.

Jelasnya, pegawai yang bertanggungjawab telah memaklumkan kepada beliau bahawa dakwaan yang dibuat itu tidak benar sama sekali dan mereka menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut.

“Pegawai Bernas telah memaklumkan kepada saya bahawa mereka tidak melakukan perbuatan tersebut iaitu menipu beras dengan kehancuran 15 peratus itu dijual pada harga yang mahal dan menafikan sekeras-kerasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO bahagian Pasir Salak di sini, hari ini.

Namun begitu, beliau berkata sekiranya penipuan tersebut terbukti berlaku, ia berkemungkinan di pihak pemborong.

Ujarnya, tindakan akan diambil jika didapati ada pihak-pihak pemborong yang melakukan perkara sedemikian seperti penggantungan lesen, umpamanya mereka tidak boleh lagi menjadi pemborong.

“Bernas merupakan pembekal dan jual kepada pemborong- pemborong… Tetapi kalau pemborong buat ini (penipuan peratusan beras), itu akan disiasat.

“Kita tegas dalam perkara ini dan mengikut pegawai kawal selia, mereka memang sentiasa menyelia perkara ini daripada berlaku iaitu kawal selia terhadap industri padi dan beras.

“Di masa yang sudah, dimana terdapat kesalahan yang dilakukan oleh pemain-pemain atau peniaga ini, dan ianya telah diambil tindakan,” tegasnya lagi.

Terdahulu, akhbar tempatan melaporkan atu laporan polis dibuat oleh pengguna yang mahu pihak berkaitan menyiasat segera laporan sebuah blog mendakwa terdapat penipuan terancang berkaitan penggunaan label lima peratus beras hancur sedangkan kandungan sebenar di dalam setiap beg adalah 15 peratus.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");