Isu Panas

‘Pimpinan Pemuda tak goyah’

Kuala Lumpur: Tiada pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO sama ada di peringkat pusat, negeri atau bahagian ‘goyah’ dan ingin keluar parti berhubung isu saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB.

Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan pergerakan itu memahami kes berkenaan perlu melalui proses kehakiman bagi memastikan kesahihan tuduhan.

“Setakat ini, tiada apa-apa dibuktikan dan tuduhan itu daripada hasil siasatan yang perlu dibuktikan di mahkamah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kononnya ada pemimpin UMNO ‘goyah’ dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, apabila laporan berkenaan dikeluarkan.

Beliau berkata, Pemuda berpegang kepada tiga asas iaitu memandang serius perkara itu kerana membabitkan jumlah wang yang besar diseleweng daripada 1MDB, namun belum dibuktikan di mahkamah dalam kes sivil sama ada aset diperoleh secara tidak sah atau sebaliknya.

Keduanya, mereka bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam, bahawa individu dikenal pasti dalam laporan berkenaan mesti bertanggungjawab membela diri mereka dalam kes sivil itu agar tiada spekulasi selepas perbicaraan di mahkamah.

“Ketiganya, walaupun kita tidak mahu buat apa-apa andaian, amat penting bagi agensi penguatkuasaan tempatan untuk buat siasatan sekiranya ada apa-apa penyelewengan berlaku dan boleh dikaitkan dengan jenayah.

“Ini dapat dibuat sekiranya maklumat itu dapat diberikan kepada agensi kita selain didapati dalam kes sivil itu bahawa aset-aset dimaksudkan dalam laporan atau siasatan itu diperoleh dengan cara tidak sah,” katanya yang yakin jika semua pihak berpegang kepada tiga perkara itu, ia dapat mengelak isu berkenaan dispekulasi atau dipolitikkan.

Sementara itu, mengulas persediaan Pemuda jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang diadakan secara mengejut pada bila-bila masa dari sekarang, Khairy menegaskan pihaknya bersedia dan melakukan persediaan sewajarnya.

“Kita membincangkan pergolakan yang berlaku di Pulau Pinang dan buat keputusan, kemungkinan besar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan disebabkan masalah peribadi dihadapi Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng).

“Maka saya sudah arahkan jentera Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri untuk bersiap sedia menghadapi PRN pada bila-bila masa.

“Kami memang bersedia dan pandangan Pemuda UMNO dan BN bahawa ini adalah kemungkinan yang tinggi disebabkan ini adalah strategi Ketua Menteri untuk menyelamatkan kedudukan beliau,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, Pemuda memberi tumpuan kepada 15 kerusi (DUN) majoriti Melayu termasuk 10 yang dimenangi UMNO sebelum ini dan yang ditandingi parti komponen BN.

“Saya minta pergerakan Pemuda di 15 kawasan ini mula gerakkan jentera dengan memanggil mesyuarat dan sebagainya,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");