Berita Hari Ini

Pinjaman tanpa faedah kepada siswazah keusahawanan

MELAKA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada siswazah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

Pengarah Cawangan Pembangunan Usahawan Siswazah dan Projek Khas Fama, Alwi Anang berkata, pinjaman yang diwujudkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sejak awal tahun lepas, menyediakan pinjaman ‘one-off’ antara RM10,000 hingga RM50,000.

Beliau berkata sehingga kini, seramai 53 usahawan muda lepasan IPT terpilih menerima pinjaman berkenaan untuk menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang khusunya agromakanan dan pertanian.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 50 usahawan muda lepasan IPT untuk memohon pinjaman tanpa faedah ini tetapi kini jumlahnya melebihi jangkaan iaitu seramai 53 orang. Kita menyasarkan untuk mengeluarkan 250 usahawan lepasan IPT setiap tahun.

“Pinjaman ini kita wujudkan bagi membantu usahawan muda yang baharu dalam bidang masing-masing dan meringankan beban pinjaman mereka,” katanya kepada Bernama selepas program tinjauan mesra Program Bazaar Ramadan Aidilfitri Industri Asas Tani 2016 Fama Melaka di pusat beli-belah di sini.

Alwi berkata, usahawan muda yang memohon pinjaman berkenaan akan ditapis secara teliti bagi memastikan hanya mereka yang layak menerima pinjaman berkenaan.

“Kita tidak mahu mereka yang mendapat pinjaman ini mempunyai masalah untuk membuat pembayaran balik kerana ia akan menyebabkan usahawan tidak dapat memohon,” katanya.

Sementara itu, katanya usahawan muda diharap dapat menawarkan harga yang berpatutan bagi setiap produk yang dijual dengan kualiti yang baik.

Terdahulu beliau melakukan lawatan di Bazaar Ramadan Aidifitri Industri Asas Tani 2016 Fama Melaka yang menjual pelbagai produk makanan melibatkan 24 usahawan termasuk lapan usahawan muda.

Bazaar berkenaan dibuka sejak 17 Jun hingga 5 Julai mulai 10 pagi hingga 10 malam.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");