Isu Panas

PRN P Pinang: Amanah tiada halangan

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) tiada sebarang halangan sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang diadakan dengan kadar segera.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad berkata, menerusi perbincangan yang diadakan pada Isnin lalu, pimpinan Amanah berpandangan bahawa PRN Pulau Pinang akan memberi peluang untuk Pakatan Harapan membuktikan kepada rakyat bahawa gabungan politik ini telah bersatu secara kukuh dan mantap.

“Walaupun Pakatan Harapan bertindak lebih cermat dan mantap semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar tetapi masih banyak boleh diperkuatkan.

“PRN Pulau Pinang memberi Pakatan Harapan peluang untuk menunjukkan potensi dan kekuatannya sambil meyakinkan rakyat akan betapa perlu wujudnya kami dalam persada politik Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media.?

Menurut Khalid, setakat ini, Amanah tidak memiliki kerusi di Dun Pulau Pinang dan oleh sebab itu, tiada sebarang isu yang timbul berhubung parti ini akan kehilangan kerusi sekiranya berlaku pilihan raya mengejut.

Sebaliknya, Khalid memaklumkan bahawa Amanah masih mempunyai peluang untuk menang walaupun ia mungkin agak tipis.

“Dengan kata lain, Amanah bagaikan ‘nothing to lose and everything to gain’ dalam pilihan raya nanti. Atas sebab itu tiada keperluan bagi Amanah membantah cadangan PRN tersebut,” katanya.

Selain daripada itu, Khalid memaklumkan pihaknya yakin bahawa BN kini sedang berusaha untuk merampas kembali Pulau Pinang dari Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Khalid memaklumkan bahawa pelaksanaan PRN adalah berbaloi sekiranya Pakatan Harapan yakin dapat meneruskan pemerintahan di negeri itu berdasarkan isu-isu besar nasional mutakhir ini.

Ujar Khalid, namun begitu, keputusan berhubung PRN tersebut perlu dibuat atas nama Pakatan Harapan setelah mendengar pandangan setiap parti komponen yang pastinya berbeza.

“Perspektif dan kepentingan yang sejajar dengan kemaslahatan rakyat perlu diberi keutamaan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");