Membawang Hari Ini

Puas bantu Fizz urus syarikat

Meski hamil empat bulan, pelakon Almy Nadia tetap membantu suaminya, Fizz Fairuz menguruskan program Karnival Moh Joget Pahang yang bakal berlangsung di Tanah Rata, Cameron Highlands pada 29 sehingga 31 Julai ini.

Almy 30, berkata, kesibukan itu membuatkan dia berasa seperti tidak hamil kerana setiap hari masih bekerja seperti biasa.

“Saya anggap ini rezeki anak. Bukan apa, saya dan suami merancang untuk menubuhkan syarikat pengurusan acara sejak tahun lalu. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan.

“Namun pada awal penubuhan syarikat kami tidak aktif sebab tidak ada projek. Jadi kami fokus kepada perkara lain.

“Tahun ini kami diberi tanggungjawab melaksanakan Moh Joget Pahang di bawah Karnival Kesenian dan Kebudayaan Negeri Pahang,” katanya.

Sambung Almy, tugasnya lebih kepada kerja belakang tabir bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.

Biarpun tidak mempunyai pengalaman sebelum ini, Almy mendapat tunjuk ajar daripada banyak pihak selain melihat perjalanan beberapa program yang dihadiri sebelum ini.

“Saya tak kisah jika selepas ini saya kurang berlakon dan tak muncul di kaca TV. Asal saja apa yang dilakukan sekarang memberikan pengalaman baru serta menjanjikan pulangan yang banyak.

“Lagipun, industri seni kita sekarang bukan seperti dahulu. Kalau kerap berlakon pun belum tentu bayaran yang diterima berbaloi. Disebabkan itu saya perlu melakukan sesuatu demi masa depan,” katanya.

Menurut pelakon drama Dunia Baru ini, dia puas apabila dapat membantu suaminya menguruskan syarikat mereka, Brain Maker Creation Sdn Bhd.

“Sejak berkahwin dan hamil anak pertama, saya jarang berlakon. Tak dinafikan timbul rasa kasihan apabila melihat suami bekerja seorang diri. Pada masa sama, saya berasa susah apabila tidak mempunyai pendapatan sendiri. Bukan apa selama ini saya sudah terbiasa ada duit poket sendiri.

“Jadi apabila nak meminta dengan suami, saya naik segan. Namun suami jenis yang memahami. Pendek kata dia banyak membantu saya,” katanya.

Teruja sambut anak kedua

Berkongsi mengenai kehamilannya, Almy meluahkan rasa teruja apabila bakal menyambut kelahiran anak kedua yang dijangka pada 4 Oktober ini.

“Walaupun ini anak kedua, debaran dan teruja tetap sama seperti yang pertama. Mengenai jantina anak pula, saya tak kisah asalkan sihat dan sempurna tubuh badan.

“Tidak banyak persiapan dilakukan kerana masih boleh pakai barang anak pertama. Tak perlu membazir,” katanya.

Menurut Almy, sejak hamil berat badannya bertambah sehingga 11 kilogram meskipun mengawal pemakanannya.

Dalam masa sama, Almy masih menguruskan kerja rumah seorang diri tanpa mengambil khidmat pembantu rumah.

“Insya-Allah selepas selamat bersalin nanti saya berazam mahu turunkan berat badan. Buat masa sekarang cukup dua anak dahulu.

“Bukan apa, saya mahu fokus kepada penerbitan drama menerusi syarikat produksi kami.

Sebagai permulaan suami akan mengarah sebuah telefilem.

Itu adalah impiannya selama ini,” kata Almy.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");