Membawang Hari Ini

Rezeki sentiasa ada

Meskipun memenangi tempat ketiga dalam program realiti, Akademi Fantasia 2014 (AF2014), nama Ewal atau Iqwal Hafiz Ismail semakin jarang diperkatakan.

Ewal mengakui hakikat itu namun mampu menarik nafas lega kerana tawaran menjayakan persembahan tidak pernah putus.

“Tak dinafikan, wajah saya jarang menghiasi kaca TV. Mungkin kerana saya kurang undangan persembahan televisyen tetapi rezeki persembahan di luar sentiasa ada.

“Boleh dikatakan setiap bulan, jadual saya penuh dengan undangan menjayakan persembahan anjuran badan korporat dan majlis tertutup. Alhamdulillah, rezeki ada di mana-mana,” katanya.

Diminta memberi komen mengenai AF2016 yang bakal bermula tidak lama lagi, Ewal berkata dengan wujudnya bakat baru akan terbentuk persaingan sihat.

Dia bagaimanapun menolak dakwaan segelintir pihak menyelar Astro Talent seolah-olah bersikap lepas tangan dengan bakat yang dilahirkan menerusi program AF.

“Kita tak boleh cakap begitu. Bagi saya, pihak pengurusan ada rancangan dan strategi untuk semua bakat yang dicungkil menerusi AF.

“Saya cuma perlu menunggu giliran dan mungkin ada sesuatu yang sudah disediakan untuk saya. Lagipun, artis Astro Talent sangat ramai, jadi saya faham situasi ini,” katanya.

Walaupun nampak sedikit tenggelam berbanding bintang AF lain, Ewal memaklumkan setiap enam bulan Astro Talent akan mewujudkan satu projek untuknya dan rakan.

“Setiap enam bulan akan ada projek untuk setiap artis. Kalau tidak hadir dengan single sekalipun, mungkin lagu untuk lagu tema drama dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, Ewal juga bersyukur kerana dia masih menjalin hubungan baik dengan beberapa pihak dan mengekalkan kerjasama untuk mengembangkan kerjayanya.

“Mujurlah sebelum bergelar artis AF, saya kenal ramai orang dan masih bekerjasama dengan mereka sehingga hari ini. Jadi, ada tawaran menjayakan persembahan,” katanya.

Ewal juga bersyukur kerana ada tapak yang kukuh dalam industri dan tidak putus berusaha mencari peluang baru.

“Berada dalam bidang ini kita kena rajin dan sentiasa ada pelan B. Kalau rancangan asal tidak berjaya, sekurang-kurangnya kita ada jalan lain bagi merealisasikan impian dan hala tuju kita,” katanya.

Terbaru, Ewal tampil dengan single baru berjudul Sama Kamu ciptaan DJ Fuzz.

“Saya kini rancak mempromosikan single ini. Saya turut buat promosi di Instagram dan mewujudkan cabaran tarian.

“Alhamdulillah, cabaran ini mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja peminat di sini tetapi juga dari luar negara,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");