Membawang Hari Ini

Rindui zaman remaja

Rindu untuk menyanyi semula membuatkan Irene Catalina, 37, tampil semula dengan dua single berjudul Sejarah Hitam dan Ada Aku Ada Dia.

Pada 2004, ibu kepada dua anak ini pernah menyertai kumpulan Angels dan menghasilkan album mini memuatkan lapan lagu.

Bagaimanapun, selepas dua tahun bersama, kumpulan itu berpecah dan ang­gotanya membawa haluan masing-masing.

“Syarikat yang menerbitkan album Angels juga sudah berkubur kerana ia ditubuhkan khusus untuk mengurus dan menerbitkan album kami. Selepas berpecah, saya ada juga menerima undangan menyanyi secara solo.

“Tidak lama kemudian saya berkahwin dan dikurniakan sepasang cahaya mata, masing-masing berusia sembilan dan tiga tahun. Apabila mereka semakin membesar, saya buka butik Beyoutiful by Irene Catalina di Shah Alam.

“Apabila perniagaan semakin stabil, saya teringin menyanyi semula dan suami (Rostam Efiendi Mohd Yusof, 37) mengizinkan,” katanya.

Menerusi kemunculan semula ini, Irene merakam semula dua lagu yang pernah dipopularkan Angels, Sejarah Hitam dan Ada Aku Ada Dia kerana merindui zaman remajanya bersama kumpulan itu.

“Saya suka dua lagu ini dan ia mengembalikan kenangan bersama anggota Angels yang lain.

“Dua karya ini ciptaan Allahyarham Andi Rahman. Oleh kerana dia sudah tiada, saya berjumpa isteri dan anaknya untuk meminta kebenaran merakamkan semula lagu ini.

“Kemunculan semula ini juga kerana dorongan rakan-rakan yang mahu lihat saya aktif menyanyi. Mereka tahu saya suka menyanyi dan bagi melepaskan gian beraksi di pentas saya selalu berkaraoke di rumah. Bagaimanapun saya tidak mengharapkan apa-apa daripada industri, hanya sekadar kepuasan diri,” katanya.

Irene turut mengambil keputusan kembali menyanyi bagi mengisi masa lapang.

“Suami saya jurutera kapal dan berada di laut selama tiga bulan dan kemudian bercuti sebulan. Itulah rutin kerjayanya.

“Semua urusan rumah tangga saya uruskan sendiri tetapi apabila anak kian membesar dan suami pula jarang di rumah, saya banyak masa lapang.

“Dengan menyanyi, sedikit sebanyak masa saya terisi,” katanya.

Menyentuh namanya yang unik, tergerak hati untuk bertanya adakah dia berdarah kacukan Melayu – Inggeris.

Tergelak dengan pertanyaan itu, jelas Irene atau nama sebenarnya, Sri Zan Safar, ketika di bangku sekolah ada pelbagai gelaran dan rakan sebaya memanggilnya Irena Catalina, watak dalam filem Sepanyol yang popular ketika itu.

“Nama ini terus melekat sehingga hari ini. Hilang nama asal saya kerana semua panggil saya Irene,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");