Sukan Hari Ini

Rosberg catat masa terpantas

Spielberg, Austria: Pendahulu kejuaraan Nico Rosberg (gambar) mencatat masa sepusingan terpantas di Red Bull Ring semalam apabila mendahului catatan masa pada sesi latihan bebas yang dicemari insiden di Grand Prix Austria hujung minggu ini.

Pelumba Jerman itu yang menyambut ulang tahun ke-31 Isnin lalu, menamatkan aksi sepusingan dengan catatan satu minit 7.373 saat untuk mengatasi pesaing terdekat dan rakan sepasukan Mercedes, juara dunia tiga kali Lewis Hamilton dengan kelebihan 0.4 saat.

Rosberg mendahului Hamilton dengan 24 mata dalam kedudukan kejuaraan pemandu dan pada hujung minggu ini mahu menjulang kejuaraan ketiga berturut-turut di Austria sejak ia kembali ke kalendar F1 pada 2014.

Pelumba Britain, Hamilton juga berusia 31 tahun, ketinggalan 0.4 saat untuk berada di tempat kedua selepas berdepan beberapa masalah di luar litar, mengatasi juara dunia empat kali dari Jerman Sebastian Vettel dan rakan sepasukannya dari Finland Kimi Raikkonen.

Pelumba Australia Daniel Ricciardo di tangga kelima buat Red Bull ketika mereka cuba menarik perhatian di laman sendiri Red Bull Ring yang terletak di Styrian Alps.

Rakan sepasukannya, pelumba remaja Belanda Max Verstappen gagal menyainginya dan menamatkan sesi latihan bebas di tangga kelapan selepas berdepan masalah apabila keretanya dua kali melanggar susur jalan.

Verstappen mengadu bahawa susur jalan baru di litar itu ‘sukar dipercayai’ dan berbahaya. Pada awal sesi, sayap kanannya patah apabila melanggar susur jalan berwarna kuning terang pada susur keluar selekoh kedua terakhir.

Bercakap menerusi pasukan, dia berkata: “Susur kuning di selekoh pantas itu benar-benar berbahaya. Benda kuning itu, memang sukar dipercayai.”

Sebaik dibaiki, dia kembali menyertai sesi berkenaan tetapi terbabas ke kawasan kerikil dengan baki setengah jam, dan kali ini merosakkan suspensi kanan depan kereta pada selekoh keenam. – AFP/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");