Isu Panas

Saman DoJ: Kerajaan tidak lindungi sesiapapun

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak melindungi sesiapapun atau menyembunyikan maklumat berhubung saman sivil dikemukakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat bagi mendapatkan kembali aset 1Malaysia Development Berhad yang didakwa diselewengkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, kerajaan sebaliknya telus dalam sebarang siasatan yang dijalankan menerusi kerjasama pihak terlibat seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika.

“Kita tidak sembunyikan apa-apapun. Malah kita akan pastikan sesiapa yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan sewajarnya. Ini menunjukkan ketelusan kerajaan.

“Ini juga menolak andaian kononnya kita akan lindungi pihak-pihak tertentu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Goxip.com, sebuah laman web dan platform untuk fesyen tempatan dan antarabangsa, di sini hari ini.

Khamis lepas, Najib berkata kerajaan akan memberi kerjasama penuh berhubung saman sivil yang dikemukakan DoJ sehari sebelum itu.

Perdana menteri menegaskan ia merupakan tindakan sivil dan bukannya tindakan jenayah, dan katanya ia terhad kepada nama-nama yang disebutkan dalam dokumen DoJ itu.

Salleh berkata semua yang dinamakan di dalam saman dan tuduhan tersebut perlu membersihkan nama mereka dan diberikan peluang untuk memberi penjelasan.

Beliau juga meminta mana-mana pihak supaya tidak membuat rumusan sendiri memandangkan siasatan baru bermula.

“Ini masih dalam permulaan penyiasatan, jadi tidak elok kita buat rumusan.

Kita harus bersikap adil kepada semua. Tidak layak dengar separuh sahaja. Kita patut lihat dan tunggu apa yang dilakukan jabatan tersebut,” tambahnya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");