Perak Hari Ini

Sekutu DAP Tidak Pasti PRN Menguntungkan atau Tidak

PASIR SALAK: Sekutu DAP iaitu PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masih tidak pasti sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang dicadangkan mendatangkan keuntungan kepada mereka atau sebaliknya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sehubungan itu, parti itu masih belum membuat sebarang keputusan terhadap cadangan tersebut.

Ujar Ahli Parlimen Pasir Salak itu lagi, beliau percaya bahawa sekutu DAP itu tidak pasti sama ada mereka akan menang atau tidak sekiranya pilihan raya itu dilaksanakan.

“Saya percaya mereka tak pasti sama ada kalau diadakan pilihan raya, mereka boleh menang sebagaimana yang diharapkan dengan tujuan kemenangan itu untuk ‘boost up’ pendirian politik Lim Guan Eng dan parti Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan sumbangan kepada jemaah haji Parlimen Pasir Salak di Chenderong Balai di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan bantuan berbentuk wang tunai RM300 kepada 117 bakal jemaah haji bagi parlimen tersebut sebagai persediaan sebelum berangkat ke tanah suci.

Tajuddin berkata, agenda sebenar DAP hanya untuk menunjukkan bahawa rakyat Pulau Pinang kuat menyokong Ketua Menteri Pulau Pinang itu walaupun diambil tindakan atas alasan rasuah dan sebagainya.

“Dia (Guan Eng) nak tunjuk bahawa dia itu mendapat sokongan daripada rakyat, parti DAP. Dia nak menggunakan itu nak mengugut kita, kerajaan dan BN.

“Tetapi kalau diadakan pilihan raya, dia kena ada risiko kalau dia dapat sokongan dan kemenangan sebegitu… Kalau sebaliknya apa nak jadi,” soalnya.

Tegas beliau, sekiranya mereka kalah dalam pilihanraya tersebut, ia merupakan bencana besar dan secara tidak langsung akan menjatuhkan moral, semangat serta sokongan terhadap parti itu.

“Jadi mereka kena timbang risiko itu… Saya rasa sebab itu tak dapat kata putus lagi.

“Bahayanya Pilihan Raya Umum akan datang apabila kekalahan itu nanti menjadi penyebab kepada kehilangan sokongan kepada DAP dan Pakatan,”katanya lagi.

Terdahulu, akhbar tempatan melaporkan bahawa Setiausaha Agung DAP itu merayu kepada PKR agar bersetuju dengan cadangan mengadakan pilihan raya sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dapat dibubarkan.

Guan Eng juga dilaporkan berkata, sehingga kini, beliau sudah mendapat persetujuan dan sokongan daripada Amanah untuk mengadakan PRN.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");