Membawang Hari Ini

Semangat ninja Mat Redho

Nama Mat Redho sebelum ini pernah dikenali menerusi program realiti Fear Factor Malaysia dan beberapa watak dalam drama antaranya Jodoh dan Manis yang pernah ditayangkan di Astro.

Terbaru, Redha, 28, atau nama sebenarnya Redha Rozlan kembali menjadi sebutan apabila mewakili Malaysia di pertandingan Sasuke Vietnam di Vietnam.

“Program ini berasal dari Jepun yang dikenali sebagai Sasuke Japan. Ia kemudian dibawa ke Vietnam dan ditayangkan di TV negara itu.

“Seramai 200 peserta dari pelbagai negara antaranya Singapura, Jepun, Amerika Syarikat dan Taiwan turut menyertai pertandingan ini. Menjadi wakil Malaysia sememangnya satu pengalaman buat saya,” katanya.

Menurut Redha, pada awalnya dia menyertai Sasuke Vietnam secara individu kerana tidak mendapat tajaan.

“Namun, apabila berada di sana, saya nampak setiap peserta membawa nama negara masing-masing. Dari situ, timbul semangat untuk saya terus membawa nama Malaysia.

“Setiap kali beraksi, saya akan membawa bendera Malaysia bersama di dalam poket. Apabila berjaya menghabiskan mana-mana cabaran, saya akan mengibarkan Jalur Gemilang dan ia sangat membanggakan saya,” katanya.

Ditanya mengenai persiapannya untuk menjadi seorang peserta Sasuke Vietnam, Redha berkata, dia menjalani latihan setiap hari.

“Saya adalah atlet negara untuk sukan ‘speed climbing’ dan mula berjinak-jinak dengan sukan itu sejak berusia 17 tahun. Jadi, sesi latihan memang berlangsung pada setiap hari.

“Tidak dinafikan, saya sedikit gemuruh apabila melihat peserta dari luar negara kerana saya tahu, di negara lain ada beberapa tempat untuk mereka menjalani latihan.

“Tempat latihan mereka lengkap dengan semua kelengkapan seperti mana yang disediakan dalam pertandingan. Di Malaysia, kita tiada tempat latihan seperti itu.

“Dari situ, saya belajar dengan melihat dan mencuba sendiri setiap langkah untuk setiap cabaran yang disediakan,” katanya.

Bercerita mengenai kerjaya seninya, Redha masih aktif berlakon dan tidak pernah melupakan minatnya itu.

“Bulan depan, saya akan mula menjalani penggambaran untuk drama bersiri Putra yang akan ditayangkan di RTM. Dalam drama itu, watak saya sebagai adiwira.

“Selain itu, saya juga terbabit sebagai pengacara untuk program travelog, juga di RTM. Program Kembara Alam itu mula bersiaran pada tahun hadapan dan akan ditayangkan sebanyak 13 episod,” katanya.

Selain drama, Redha turut mempunyai minat mendalam dalam pementasan teater.

“Kali terakhir saya beraksi di pentas teater adalah pada November lalu, menerusi teater Pak Pandir. Memang satu pengalaman yang menyeronokkan kerana dalam teater, banyak perbezaan berbanding drama,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");