Sukan Hari Ini

Singkir Bayern!

Berlin: Pertahanan Borussia Dortmund Sokratis Papastathopoulos percaya sudah tiba masanya juara Bundesliga Bayern Munich disingkirkan dari puncak liga Jerman selepas unggul dalam tempoh empat tahun terakhir.

Bayern memenangi kejuaraan Bundesliga dengan rekod empat musim berturut-turut namun semuanya berubah di Munich bagi musim 2016-17 dengan Carlo Ancelotti menggantikan Pep Guardiola sebagai ketua jurulatih manakala pengarah sukan Matthias Sammer meletakkan jawatan kerana masalah kesihatan.

Dortmund, pasukan terakhir selain Bayern memenangi kejuaraan liga Jerman, adalah juara Bundesliga pada 2011 dan 2012 dan muncul naib juara di belakang kelab Bavaria itu dalam tiga daripada empat musim terakhir.

Dortmund menanti kunjungan Bayern pada Piala Super Jerman 14 Ogos ini bagi perlawanan rasmi pembuka tirai musim namun Sokratis berkata, mereka mahukan lebih kejuaraan musim ini.

“Tanpa kelab gergasi seperti Bayern, kami sudah tentu muncul juara liga atau piala,” jelas Sokratis, yang lebih dikenali dengan nama pertamanya di Jerman.

“Saya akan memulakan musim keenam dalam Bundesliga dan masih belum menang kejuaraan kecuali Piala Super. Ia membingungkan saya. Sudah tiba masanya memenangi kejuaraan.”

Musim baharu liga di Jerman bermula pada 26 Ogos ini apabila Bayern menanti kunjungan Werder Bremen manakala Dortmund menunggu kehadiran Mainz sehari kemudian.

Ancelotti membawa skuadnya bagi jelajah tiga perlawanan ke Amerika Syarikat yang mana mereka berdepan kelab gergasi Eropah AC Milan, Inter Milan dan Real Madrid, tanpa bintang Jerman mereka yang masih berehat selepas Euro 2016.

Ketika Bayern mengukuhkan skuadnya dengan mengikat pertahanan Dortmund Mats Hummels dan pemain tengah Renato Sanches dari Benfica, Borussia turut sibuk dalam pasaran perpindahan pemain.

Mereka mengikat pemain kebangsaan Jerman Mario Goetze, yang kembali ke Dortmund selepas tiga musim bersama Bayern, serta Andre Schuerrle dari Wolfsburg.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");