Berita Hari Ini

SPR: Hanya pembetulan lokaliti

IPOH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak menafikan berlaku pemindahan pengundi secara besar-besaran di daerah Kerian sebaliknya ia hanyalah pembetulan lokaliti.

Pengarahnya, Ahmad Adli Abdullah berkata, urusan belah bagi yang dilakukan SPR bukanlah pemindahan pengundi tetapi menentukan lokaliti sebenar yang paling hampir dengan pengundi.

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pemberitahuan sudah dibuat tentang urusan belah bagi tersebut.

“Kita sudah maklumkan kepada semua parti tentang perkara ini. Tak sepatutnya timbul isu dan apa yang didakwa itu tak betul.

“Pembetulan lokaliti itu kita betul-betul ikut kod yang sudah ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri PKR Perak, Abdul Yunus Jamhari yang mendakwa berlaku pemindahan pengundi besar-besaran di daerah Kerian dan beberapa kawasan lain oleh SPR.

Menurut Abdul Yunus, di Perak, angka tertinggi kawasan parlimen yang terlibat dengan pemindahan pengundi adalah di Batu Gajah (5,810), Bagan Serai (4,657), Ipoh Timur (3,120) dan Bukit Gantang (2,599).

Dalam pada itu, Ahmad Adli berkata, mana-mana parti atau individu yang mempunyai kemusykilan atau persoalan mengenai urusan belah bagi itu boleh terus ke pejabat SPR negeri.

Katanya, jika terdapat sebarang kesilapan, pihak SPR akan membuat semakan semula dan pembetulan.

“Datang ke pejabat dan kita akan beri penjelasan terperinci tentang apa juga persoalan yang timbul,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");