Jenayah

Taktik guna ‘bot klon’ gagal

KUALA TERENGGANU – Taktik nelayan asing menggunakan bot ‘klon’ bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila dua buah bot ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Maritim 9 (DM9) Terengganu, Sabtu lalu.

Bukan sahaja menggunakan bot ‘klon’ menyerupai bot nelayan tempatan kelas C2, malah kedua-dua buah bot milik nelayan warga Vietnam itu turut disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding.

Ketua Penguat kuasa Maritim Terengganu, Kapten Maritim Zainolabidin Jusoh berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 9 malam pada jarak 44 batu nautika manakala kira-kira jam 9.15 malam, tangkapan kedua dibuat iaitu jarak 45 batu nautika dari muka Kuala Terengganu.

“Kedua-dua bot yang ditahan diperiksa sebelum mendapati kedua-dua bot terbabit mempamerkan lesen dan dokumen pengenalan diri palsu dipercayai untuk mengaburi mata pihak kami.

“Seterusnya kedua-dua bot dan seramai 18 awak-awak termasuk tekong berusia 19 hingga 63tahun ditahan dan direman bermula kelmarin (24 Julai) sehingga 6 Ogos depan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya, kelmarin.

Zainolabidin berkata, jumlah rampasan kedua-dua bot dan peralatan keseluruhan adalah bernilai kira-kira RM500,000, manakala hasil tangkapan laut dan minyak diesel dianggarkan RM20,000.

Selain itu, dua buah bot nelayan tempatan kelas C2 ditahan kerana gagal mempamerkan permit kerja awak-awak manakala 12 orang awak-awak tiada dokumen pengenalan diri yang sah di perairan Terengganu, dalam operasi kelmarin.

Menurut Zainolabidin, bot pertama ditahan kira-kira 3.50 petang pada jarak lebih kurang satu batu nautika dan bot kedua pula ditahan kira-kira jam 4.10 minit iaitu jarak juga lebih kurang satu batu nautika dari muka Kuala Terengganu.

“Hasil pemeriksaan mendapati 12 daripada 27 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berusia 21 hingga 58 tahun tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua mereka juga direman bermula semalam (25 Julai) sehingga 7 Ogos depan untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Jelasnya lagi, jumlah rampasan kedua-dua bot dan peralatan dianggarkan bernilai RM500,000, manakala hasil tangkapan laut dan minyak diesel dianggarkan RM15,000.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");