Laporan Eksklusif

Tiang seri dasar kerajaan

Putrajaya: Rakyat hendaklah dijadikan tiang seri atau tonggak kepada semua dasar kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, beliau berkata, anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam diminta tidak hilang tumpuan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan memastikan apa saja yang dilakukan adalah untuk rakyat.

Najib turut menegaskan, adalah penting bagi mereka untuk memberi tumpuan kepada bidang keberhasilan yang ditentukan oleh kerajaan seperti bidang pengangkutan awam, perumahan dan kos sara hidup.

“Alhamdulillah, (dalam) sehari dua ini segala inisiatif kita laksanakan termasuk sambungan LRT (Transit Aliran Ringan), MRT (Aliran Transit Massa) yang bakal dilancarkan akhir tahun ini dan projek Kereta Api Laju (HSR) yang diumumkan semalam (kelmarin).

“Semua ini akan memberi kemudahan kepada rakyat dan negara, inilah gambaran Malaysia bertambah maju,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Lebih 3,000 warga JPM dan jabatan serta agensi di bawahnya hadir pada majlis yang bertemakan ‘Syawal@JPM: Di sini Kasih Bersemi’ itu.

Turut menyerikan majlis, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, menteri dan timbalan menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Othman Mahmood.

Najib berkata, isu keselamatan perlu diberikan keutamaan kerana ia menjadi cabaran besar kepada negara ketika ini.

Katanya, beliau juga menganggap sambutan Aidilfitri itu boleh dijadikan satu peluang untuk mengukuhkan hubungan dengan semua warga JPM serta sebagai penghargaan kerajaan kepada penjawat awam.

Ini kerana katanya, pihak pelaksana iaitu penjawat awam adalah mereka yang akan menterjemahkan dasar kerajaan dalam bentuk tindakan serta pelaksanaan yang berkesan bagi memenuhi semua objektif dan matlamat dasar yang diperkenalkan kerajaan.

“Saya harap selepas sambutan Aidilfitri ini, semua akan bekerja lebih gigih kerana apa yang dilakukan adalah demi negara.

“Berkat gandingan dan kerjasama antara anggota pentadbiran serta penjawat awam di semua peringkat mampu menjamin masa depan yang cemerlang untuk negara,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri turut meluangkan masa meninjau 12 gerai makanan dengan pelbagai juadah yang disediakan oleh pejabat anggota pentadbiran bersama jabatan dan agensi di bawah JPM.

Beliau turut menyampaikan Bantuan Zakat Aidilfitri dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM3.82 juta yang akan disalurkan kepada 2,500 penerima Bantuan Bulanan Baitulmal MAIWP yang terdiri daripada asnaf, fakir miskin dan mualaf di Wilayah Persekutuan.

Selain itu, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan artis jemputan dan warga JPM menerusi Pertandingan JPM Idol.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 9:49 AM

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");