Berita Hari Ini

Tunggu laporan penuh RISDA

Klang: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengarahkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyediakan satu laporan penuh berhubung cadangan memohon kebenaran penanaman pokok ketum untuk komersial.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang permohonan dirujuk berhubung cadangan itu.

Menurutnya, cadangan itu memerlukan penelitian dan sokongan daripada beberapa kementerian lain.

“Cadangan Pengerusi RISDA (Datuk Zahidi Zainul Abidin) itu berniat baik dan mungkin bertujuan mendapatkan pandangan atau maklum balas awal daripada pelbagai pihak.

“Namun, kami (KKLW) perlu memastikan ia tidak bertentangan undang-undang sedia ada dan turut memerlukan penelitian kerana membabitkan pandangan daripada kementerian lain,” katanya pada sidang media majlis Ramah Mesra Aidilfitri KEMAS dan Pemimpin Masyarakat di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Shah Alam di Bukit Raja di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri KKLW Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ketua Pengarah KEMAS Amiruddin Ariffin.

Menurut beliau, cadangan itu turut perlu dirujuk dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Sebagai contoh, KDN sebelum ini pernah mencadangkan ketum diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) manakala KKM memohon ia dijadualkan mengikut Akta Makanan dan Racun.

“Selain itu, KPM memainkan peranan penting untuk melindungi pelajar sekolah. Berikutan itu, pelbagai penelitian perlu diambil kira sebelum melaksanakan cadangan itu,” katanya.

Kata Ismail Sabri, pihaknya menunggu laporan penuh daripada RISDA mengenai cadangan itu dan melakukan perbincangan menyeluruh dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, beliau ketika menghadiri Seminar Gagasan Pemikiran Tun Razak ‘Menjunjung Amanah Rakyat’ di Putrajaya turut meminta laporan dan gambaran mengenai perkara itu daripada RISDA yang diketahui mempunyai perancangan tertentu.

Menurut beliau, kementerian menggalakkan pekebun kecil mengusahakan tanaman lain selain getah bagi meningkatkan pendapatan mereka.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");