Isu Panas

Tunggu Muhyiddin umum, kata Anwar

SHAH ALAM – PKR sedia bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya bekas Timbalan Presiden Umno itu mengesahkan untuk menyertai pembangkang melalui penubuhan parti baharu.

Bekas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu penting bagi membentuk satu ‘cohesive’ (kesepakatan) untuk menentang Umno-BN dan juga memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya rasa kita tunggu pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin. (Dan) kalau program itu agendanya untuk membantu rakyat, kita boleh kerjasama, tiada masalah.

“Tetapi dalam keadaan sekarang masih terlalu awal untuk melihat manfaat dari segi kerjasama dengan wujudnya parti baharu, kita perlu tunggu penjelasan apakah dasar, kebaikan dan keseluruhan dalam ekonomi, politik dan sebagainya,” katanya yang dipetik menerusi KiniTv, semalam.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Muhyiddin menyatakan beliau secara peribadi bersetuju dengan dengan cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu.

“Saya juga akur bahawa penubuhan sebuah wadah politik baharu hanya akan berkesan sekiranya ia dipersetujui secara konsensus oleh rakan-rakan pimpinan parti-parti pembangkang yang lain. Untuk itu saya akan meneruskan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan sebelum memutuskan langkah selanjutnya,” katanya.

Muhyiddin berkata, sekiranya cadangan itu menjadi kenyataan parti baharu itu perlu bekerjasama dengan semua pihak berkaitan, termasuk Pakatan Harapan, Pas dan pertubuhan masyarakat sivil untuk meneruskan perjuangan menyelamatkan Malaysia di samping mengambil langkah-langkah perlu untuk melakukan reformasi institusi.

Muhyiddin, juga berkata beliau sependapat dengan Anwar, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa pimpinan Pakatan Harapan dan Pas yang lain bahawa parti-parti pembangkang perlu kembali berunding untuk mewujudkan kesepakatan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kesepakatan ini adalah amat penting untuk meraih keyakinan rakyat bahawa parti-parti politik selain BN mampu untuk menerajui Malaysia dengan lebih baik dan membela nasib rakyat,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");