Panasnya Hari Ini

Wang Rakyat Dibazirkan Biaya ‘Maksiat’ 1MDB – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR:Mahasiswa disaran supaya menuntut Kerajaan mengambil sikap bertanggungjawab dengan mengembalikan semula peruntukan biasiswa dan dermasiswa yang dakwanya telah dipotong.

Saranan itu dilontarkan oleh Presiden yang juga merangkap Jurucakap CHALLENGER, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya.

“Ketika kami mengundi Datuk Seri Najib Razak pada PRU13, kami berpegang pada moto “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

“Kami yakin bahawa Datuk Seri Najib merupakan pemimpin yang akan mendahulukan keperluan rakyat melebihi keperluannya sendiri. Namun, kami tersilap,” katanya.

Dakwanya, Bajet 2016 memperlihatkan peruntukan biasiswa dan dermasiswa dipotong sebanyak RM800 juta manakala Dana Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin telah diturunkan dari RM200 juta kepada RM10 juta dan seramai 700 orang pelajar JPA telahpun dihentikan penajaan tanpa sebarang penjelasan.

Malah tambahnya lagi, peruntukan untuk Institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam turut melibatkan penurunan sebanyak RM2.41 bilion.

“Ketika rakyat menghadapi krisis ekonomi, kami sentiasa bergantung harap pada kerajaan yang mentadbir. Kami berharap nasib kami terbela, pendidikan kami terjamin dan negara kami akan kembali stabil. Namun, janji Perdana Menteri sehingga kini hanya tinggal janji, dan harapan kami juga hanya tinggal harapan,” katanya lagi.

Katanya, sewaktu dana pendidikan ini ditarik semula, penyalahgunaan demi penyalahgunaan sumber kewangan semakin banyak didedahkan.

Malah wang yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat Malaysia, dakwanya telah disalahgunakan dalam satu skala yang besar.

“RM140 juta digunakan untuk membeli jet peribadi, RM168 juta digunakan untuk berjudi di kasino, manakala RM400 juta digunakan untuk membeli lukisan, RM700 juta digunakan untuk membeli saham EMI, dan sebanyak RM1.4 bilion digunakan bagi membeli hartanah mewah di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Berbilion-bilion duit rakyat didapati lesap begitu sahaja melalui projek – projek 1MDB,” katanya lanjut.

Jelasnya, sudah tiba masanya Mahasiswa-mahasiswa yang telah dianiaya menuntut Kerajaan mengambil sikap bertanggungjawab.

“Sudah tiba masanya untuk kita menuntut keadilan yang sudah sekian lama tertunggak. Sudah tiba masanya untuk luahan kita didengari oleh semua pihak. Umpama sebuah peribahasa….”Berikan aku 1,000 orang tua, nescaya akan kucabut semeru dari akarnya. Berikan aku 10 pemuda, nescaya akanku goncangkan seluruh sedunia” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");