Berita Hari Ini

Wanita dijangkiti HIV meningkat

KUALA LUMPUR – Majlis Aids Malaysia (MAC) mendedahkan cabaran yang dihadapi mutakhir ini melibatkan kaum wanita apabila nisbah jangkitan HIV baru wanita kepada lelaki telah meningkat dalam tempoh yang sama daripada 1:10 kepada 1:5.

Presidennya, Bakhtiar Talhah berkata lebih membimbangkan apabila peningkatan transmisi seksual HIV di mana tahun lalu menyumbang 78 peratus kes-kes baharu berbanding 48 peratus pada tahun 2010.

“Tanpa kesedaran dan pemerkasaan, kaum wanita akan terus berhadapan dengan risiko jangkitan daripada suami atau pasangan intim khasnya golongan suri rumah yang melibatkan lebih 30 peratus daripada wanita yang dijangkiti HIV.

“Beban stigma ditanggung kaum wanita yang hidup dengan HIV juga lebih berat disebabkan jurang dan ketidaksamaan gender sehingga ramai yang disisihkan keluarga serta masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa bersama Datuk Seri Azalina Othman Said, semalam.

Menurutnya, strategi pengurangan kemudaratan yang merangkumi program pertukaran jarum dan alat suntikan (NSEP) serta terapi gantian metadon (MMT) telah berjaya mengurangkan jangkitan HIV baharu dalam kalangan pengguna dadah suntikan setinggi 60 peratus, daripada 3,127 kes pada 2010 kepada 561 kes pada tahun 2015.

Katanya, jangkitan HIV baharu juga menunjukkan trend penurunan yang konsisten sepanjang tempoh sedekad, daripada 5,830 kes pada 2006 kepada 3,330 pada 2015 dengan kadar penurunan lebih 40 peratus.

“Alhamdulillah sepanjang tempo sedekad lalu, program rumah perlindungan di bawah seliaan MAC yang dibiayai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKW) serta rakan korporat telah memberi manfaat kepada lebih 1,130 penghuni termasuk 99 kanak-kanak dengan 626 daripada mereka menjalani rawatan antiretroviral.

“Kita amat bersyukur dan merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas sumbangan RM100,000 daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina. Sumbangan ini akan diagihkan secara saksama antara 10 rumah perlindungan di seluruh negara bagi memastikan kelangsungan program rawatan, jagaan dan sokong bantu bagi manfaat komuniti kami yang memerlukan,” katanya.

Di negara ini, 108,519 kes jangkitan HIV direkodkan dengan 17,916 kes kematian berkaitan AIDS telah dikesan sehingga akhir tahun lepas menjadikan angka orang yang hidup dengan HIV sebanyak 90,603 orang.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");